PELAJAR OKU PENGLIHATAN TENANG HADAPI PEPERIKSAAN
4 Januari 2025 : - Kehilangan penglihatan bukanlah penghalang untuk terus mewarnai kejayaan sendiri bak kata pepatah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.
Berbeza dengan pelajar fizikal normal lain ketika setiap kali menghadapi peperiksaan semester yang kebiasaannya disediakan dengan kertas jawapan objektif OMR (Optical Mark Reader), kertas soalan dan buku jawapan, lain pula kaedah penyediaan soalan peperiksaan kepada Saudara Ryenaath A/L Ganesan, Pelajar Kelainan Upaya (PKU) penglihatan, tahun tiga Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan yang juga merupakan penerima biasiswa Yayasan Sime Darby bagi kategori YSD Special Needs Bursary (12 Mac 2024) dan penerima Anugerah “Outstanding Youth Award” (27 Julai 2024).
Melalui sistem JAWS, Ryenaath menghadapi peperiksaan dengan hanya dibekalkan sebuah laptop, fon kepala dan ditemani pembaca soalan yang mewakili pensyarah pusat pengajian masing-masing untuk calon tersebut.
JAWS (Job Access With Speech) berfungsi kepada pengguna buta atau kurang penglihatan menggunakan komputer riba dengan membaca maklumat yang dipaparkan pada skrin melalui suara.
Encik Mohd Zahidi Che Hasan, Pembantu Tadbir, Unit Peperiksaan & Pengijazahan, Jabatan Pendaftar ketika ditemui berkata bagi calon pelajar kelainan upaya kategori penglihatan, kami menyediakan sebuah bilik khas dilengkapi sistem khas (JAWS) yang telah dimasukkan dalam komputer riba.
Pelajar tersebut akan menerima soalan melalui pendengaran dan akan menjawabnya melalui system JAWS yang mengawal keseluruhan perisian komputer riba yang telah disediakan.
“Soalan akan dimasukkan dalam komputer riba terlebih dahulu sebelum calon mula menjawab dan setiap soalan akan dibacakan oleh pembaca soalan dengan suara yang jelas," tambahnya lagi.
Peperiksaan adalah satu fasa penting dalam perjalanan pendidikan siswa/i. Ia adalah peluang untuk mempamerkan segala ilmu yang telah dipelajari di bilik kuliah.
Jangan takut dan jangan bimbang tetapi jadikan ia sebagai batu loncatan untuk terus mencapai kejayaan yang lebih baik dari sebelumnya.