Skip to main content

MENSEJAHTERAKAN KOMUNITI DI BULAN RAMADAN : USM CAKNA OKU DI RUMAH AMAL, KULIM

KULIM, 31 Mac 2024 – Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni melalui Unit Kebajikan Pelajar dan OKU BHEPA dengan kerjasama syarikat Shell North A03 telah mengadakan program bagi menyantuni dan mengeratkan lagi jalinan keserakanan antara pelajar USM dengan pelatih sebuah pertubuhan NGO bertempat di Rumah Amal, Kulim Kedah.
Prof. Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA yang mewakili Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA) dalam ucapannya berkata ianya merupakan satu langkah penting dalam usaha universiti memberi perhatian dan sokongan kepada golongan OKU (Orang Kurang Upaya).
Melalui kepelbagaian dan keunikan potensi mereka, golongan OKU sesungguhnya mempunyai kelebihan tersendiri serta unik dalam menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim, seramai 47 orang pelatih dari Rumah Amal, Kulim dan 28 orang pelajar USM telah mengadakan beberapa aktiviti bersama seperti ice breaking, persembahan pelajar dan slot motivasi.
Delegasi USM juga mengadakan lawatan di sekitar kawasan rumah amal bagi melihat kemudahan prasarana yang disediakan kepada pelatih dan aktiviti penyediaan dan pembungkusan bubur lambuk yang turut disediakan secara bergotong royong.
Turut hadir bersama dan menyantuni pelajar ialah Cik Sheilawanis Abdul Karim, Ketua Unit Kebajikan Pelajar & OKU, pegawai dan staf BHEPA USM, Sekretariat Insan Istimewa USM dan Barisan Pengurusan Tertinggi Rumah Amal Kulim pula dihadiri oleh Puan Zarina Mohd Nor selaku Pengetua dan Tuan Haji Zulbakri Haji Shuib selaku Pengerusi manakala pegawai dan staf Shell North telah dihadiri oleh Encik Mohamad Azinuddin Ibrahim, Cik Siti Syafiqah Syarah Zainal Abidin dan Encik Lim Yee Kang. Encik Firdaus Osman, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Komuniti JKM Negeri Kedah turut hadir sama bagi memeriahkan perjalanan program.
Terima kasih atas segala sumbangan dana, tenaga dan komitmen yang telah diberikan oleh semua pihak yang bertungkus lumus dalam menjayakan program ini.
Sesungguhnya pelbagai usaha boleh dimanifestasikan bersama dalam membantu golongan istimewa ini agar mampu berdiri di atas kaki sendiri dan duduk sama tinggi bersama setiap lapisan masyarakat.