FUN RUN & WALK PUPUK JALINAN ERAT ANTARA ORANG KURANG UPAYA, MASYARAKAT DAN MAHASISWA
27 Januari 2024 :- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia melalui Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan buat julung kali telah menganjurkan program Fun Run & Walk bertemakan ‘All Together with Someone Special’.
Seramai hampir 200 orang peserta terdiri daripada pelbagai bangsa dan umur dari kalangan warga USM, ibu bapa, pelajar OKU, Pertubuhan Dalam Komuniti (PDK), pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) dan Rumah Amal Kulim telah menyertai program ini di Padang Desasiswa Aman Damai pagi tadi.
Larian sejauh 1 km sekitar kampus dimulakan selepas acara senamrobik berlangsung dan telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM manakala sesi penutup program telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Kelestarian Institusi.
Larian ini antaranya terdiri daripada pelajar kategori OKU pendengaran, penglihatan, fizikal dan masalah pembelajaran. Pelbagai acara menarik lain seperti sukan rakyat, persembahan dan jualan juga telah disediakan kepada pelajar istimewa yang turut disertai oleh ibu bapa yang hadir.
Hadir bersama pada program ini adalah Prof. Madya Dr. Mohamad Shaharudin Samsurijan, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM, Dr. Mohd. Zulkifli Abdul Rahim, Pengerusi Kluster OKU USM, pegawai-pegawai utama Jabatan Kebajikan Masyarakat, Cik Jelfariny Mohd Jelahni, Timbalan Pendaftar BHEPA, Cik Sheilawanis Abdul Karim, Penolong Pendaftar Kanan BHEPA merangkap Ketua Unit Kebajikan Pelajar & OKU dan pegawai-pegawai utama universiti.
Pihak universiti sentiasa menyokong program-program komuniti yang melibatkan golongan kurang upaya bagi memastikan bahawa mereka juga dapat menemui ruang dan peluang untuk terlibat secara aktif dalam setiap program yang dianjurkan.
Program ini juga menggalakkan kerjasama antara penjaga/ibu bapa kepada orang kurang upaya, mahasiswa serta komuniti setempat dalam usaha kita menyokong keperluan golongan OKU agar tidak terpinggir di dalam masyarakat sebaliknya membantu mereka untuk kekal sihat dan aktif untuk turut sama menyumbang kepada pembangunan negara.