Skip to main content

DERMAWAN ALUMNI USM HULUR SUMBANGAN ZAKAT KEPADA 302 PELAJAR ASNAF, BANTU RINGANKAN BEBAN PERBELANJAAN

11 April 2025 :- Sejumlah RM122,000.00 sumbangan khas bantuan zakat diberikan kepada pelajar USM golongan berpendapatan rendah (B40) dalam kalangan siswa sulung, anak yatim dan asnaf oleh para dermawan alumni yang prihatin akan kesukaran hidup pelajar yang benar-benar memerlukan bantuan kewangan.
Hadir menyantuni majlis ialah Prof. Dato' Gs. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor Bahagian Akademik & Antarabangsa yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Universiti Sains Malaysia, Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Ali Mohd Salleh, Ahli Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia, Yang Berusaha Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia dan Yang Berusaha Dr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Pengerusi Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia.
Dato' Narimah dalam ucapan serba ringkas merakamkan penghargaan kepada para dermawan Alumni yang budiman atas kesudian menghulurkan zakat dan sumbangan kepada para pelajar yang sedikit sebanyak dapat membantu dalam meringankan beban pelajar yang baru sahaja memulakan pengajian mereka.
Mewakili dermawan alumni USM, Tuan Haji Abu Samah Haji Samsuri dalam ucapan ringkasnya menasihati para pelajar agar dapat menggunakan sebaik mungkin bantuan yang diberikan ini untuk pembelajaran dan bukanlah untuk kegunaan yang sia-sia. Beliau juga berharap agar para pelajar dapat berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi pelajar cemerlang dan seterusnya mampu mengubah masa hadapan kearah yang lebih baik.
Turut hadir dan merangkap Penyelaras Program Cik Sheilawanis Abdul Karim, Penolong Pendaftar Kanan merangkap Ketua Unit Kebajikan Pelajar & OKU, para dermawan iaitu Dato Haji Ishak Haji Mohamed, Datin Hajah Rohayati Haji Ismail, Haji Abd Muttalib Hussein, Haji Md Rosli Said, Haji Ahmad Suhaimi Mohd Yusof, Haji Mohd Najib Abd Rashid, Hajah Raden Roro Prima Dewi serta pegawai BHEPA.
Selain itu, dua orang pelajar telah dipilih sendiri oleh Tuan Haji Mohd Ali sebagai penerima bantuan zakat daripada Lembaga Gabenor Universiti Sains Malaysia.
Universiti Sains Malaysia melalui Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni mengucapkan jutaan terima kasih kepada para derwaman yang tidak pernah jemu dalam memberi sumbangan dan sokongan penuh demi kebajikan pelajar.
Semoga ianya dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh siswa/I USM untuk terus belajar dengan tekun dan berjaya dengan cemerlang serta dapat berbakti semula kepada pelajar lain di masa hadapan sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh alumni USM pada hari ini.