Skip to main content

BUDDY PELAJAR OKU TINGKATKAN SEMANGAT PERPADUAN DI KALANGAN PELAJAR, TERAPKAN CAPAIAN PENDIDIKAN BERKUALITI (SDG 4)

30 Mei 2024 :- Selaras dengan usaha mewujudkan Kampus Sejahtera, USM menyediakan pelbagai kemudahan mengikut keperluan Orang Kurang Upaya (OKU) dengan menggunakan kepakaran dalaman USM dalam usaha memastikan insfrastruktur yang bersifat mesra OKU.
USM mengorak langkah untuk menjadi sebuah kampus MESRA OKU pada tahun 2001 di mana universiti telah menubuhkan Kumpulan Sokongan OKU dalaman kampus dengan melantik Dr. Tiun Ling Ta dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM sebagai pengerusinya.
Penubuhkan kumpulan ini dibuat bagi merangka perancangan dan garis panduan serta buah fikiran bagi mewujukan suasana mesra OKU di dalam kampus. Sebanyak RM 2 juta telah diperuntukan oleh USM bagi tujuan seperti pembinaan ‘ramps, besi ‘railing’ di tangga-tanga dan tandas khas untuk OKU yang melibatkan kawasan perpustakaan, Dewan Tuanku Syed Putra dan dewan-dewan kuliah di sekitar kampus.
Antara beberapa dewan kuliah yang dilengkap dengan kemudahan tersebut ialah SK1, DK A, DK B, DK C, SK 102, SK 103 dan di dewan kuliah di Kompleks Sains (DK H-DK R). (Buletin PERANTARA : DEC. 2002 ,Jil. 20 Bil : 002).
Desasiswa Aman Damai telah di naik taraf sebagai sebuah desasiswa khas untuk OKU dengan infrastruktur dalaman yang dilengkapi fasiliti asas untuk OKU fizikal serta bebas halangan untuk OKU.
Aman Damai juga dipilih memandangkan lokasi serta kedudukannya yang strategik dan ideal dari segi mobiliti OKU.
Tahun ini Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni melalui Unit Kebajikan Pelajar & OKU terus mengorak langkah mengambil inisiatif baharu memperkenalkan konsep ‘buddy’ pelajar OKU dalam usaha untuk membantu mereka supaya dapat belajar, bergaul bersama rakan-rakan lain dan bebas ke mana saja di dalam kampus serta dapat menggunakan kemudahan-kemudahan lain yang terdapat di dalam universiti.
Hadir menyantuni pelajar bertempat di Dewan Pembangunan Pelajar (DPS1) ialah Prof. Dr. Shaharum Shamsuddin, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM yang turut dihadiri bersama oleh Puan Arinawati Ayob, Ketua Pustakawan USM, Encik Nazir Narsan, Cik Shielawanis Abdul Karim, Ketua Unit Kebajikan Pelajar & OKU, BHEPA, Pegawai Keselamatan, Jabatan Keselamatan, wakil desasiswa dan pegawai BHEPA.
Shaharum turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada 25 orang pelajar yang terdiri daripada pelbagai peringkat tahun dan pusat pengajian atas kesudian menjadi ‘buddy’ pelajar OKU. Bagi mengeratkan perpaduan antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama, sesungguhnya pengorbanan yang ditunjukkan telah membuktikan bahawa wujudnya amalan duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi di kalangan pelajar.
Turut dikongsikan bersama pelajar OKU ialah beberapa kemudahan lain yang telah disediakan khas kepada pelajar antaranya ialah ruang bacaan di tingkat 1 yang terdapat di perpustakaan USM, OKU Blind dan kaedah pandu lalu.