Skip to main content

BHEPA ANJUR PERTEMUAN BERSAMA PELAJAR OKU USM

USM, PULAU PINANG 23 Mei 2025 :- Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa dan Anugerah OKU & Siswa Sulung BHEPA telah mengadakan satu pertemuan bersama lebih daripada 30 pelajar kategori OKU melalui Program Perjumpaan Pelajar OKU USM Bersama BHEPA di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA.
Objektif utama program ini adalah untuk memperkenalkan dasar, menyampaikan maklumat mengenai inisiatif yang disediakan oleh Universiti Sains Malaysia dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni untuk memperkasakan OKU.
Hadir pada program ini ialah Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Cik Sheilawanis Abdul Karim, Ketua Unit Kebajikan Pelajar & OKU Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Tuan Haji Wan Mazlan Wan Ab Rahman, Timbalan Bendahari Kanan, Dr. Ahmad Zaimi Abdul Latiff, Pengarah Pusat Sejahtera, Puan Nur Afiqah Mohd Shukri, wakil Ketua Pustakawan, Perpustakaan Hamzah Sendut dan Encik Firdaus Haji Husin, wakil Pengarah Jabatan Keselamatan.
Encik Shukeri dalam ucapannya menekankan bahawa, USM komited menjadikan Kampus Mesra OKU melalui dasar komprehensif yang memastikan hak dan peluang sama rata untuk pelajar OKU dan dasar ini juga menyokong pelbagai aspek untuk menyokong pembelajaran, kebajikan dan aksesibiliti pelajar.
Seperti yang ditekankan, terdapat lima tumpuan kebajikan pelajar OKU yang dibincangkan seperti kebajikan akademik iaitu sokongan pembelajaran, kemudahan perpustakaan dan bimbingan Buddies OKU selain kebajikan kewangan seperti biasiswa, zakat, sumbangan khas serta bantuan kecemasan.
Selain itu juga turut merangkumi kebajikan kesihatan dan mental dibawah perkhidmatan kaunseling, aktiviti kesihatan dan sokongan psikologi selain kebajikan tempat tinggal dan kemudahan serta kebajikan sosial dan ekonomi.
Dipenghujung program, para pelajar diberi peluang untuk berinteraksi dalam sesi soal jawab untuk mengemukakan apa sahaja bentuk aduan mahupun cadangan untuk penambahbaikan dalam memastikan keselesaan pelajar OKU USM sentiasa terjaga dan terpelihara.