Skip to main content

SUKARELAWAN USM BANTU PERMUDAHKAN URUSAN JEMAAH HAJI PULANG KE TANAH AIR

USM PULAU PINANG, 11 Julai 2025 :- Kepulangan para jemaah haji dari Tanah Suci ke tanah air baru-baru ini bukan sahaja disambut dengan penuh rasa syukur oleh ahli keluarga, malah turut mendapat sokongan pelbagai pihak yang berganding bahu memastikan kelancaran operasi penerimaan jemaah.

Oleh itu, Sekretariat Sukarelawan (SUKASS) Universiti Sains Malaysia telah turut serta menjayakan inisiatif Operasi Haji Tanah Air (OHTA) Fasa 2 dengan membantu menguruskan kepulangan seramai 1,988 jemaah haji dari Tanah Suci ke Pulau Pinang.

Bertempat di Stesen Bayan Lepas, program ini dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM dengan kerjasama strategik Tabung Haji Pulau Pinang, dan telah berlangsung selama lapan hari bermula 28 Jun hingga 5 Julai 2025.

Program ini telah dikoordinasikan oleh Cik Nur Anis Atikah Almizan, Pegawai Tadbir Sektor Latihan, Kepimpinan & Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, dengan penglibatan saudara Muhammad Farizul Aiman Mohamad Jalil, Yang Dipertua SUKASS, serta disokong oleh seramai 80 orang sukarelawan SUKASS yang bertugas secara bergilir pada sesi pagi dan petang sehingga keseluruhan operasi berjaya dilaksanakan dengan jayanya.

Para sukarelawan telah diberikan mandat untuk memastikan setiap aspek pengurusan ketibaan jemaah haji dapat dilaksanakan dengan teratur dan efisien, sekali gus menjamin kelancaran keseluruhan proses kepulangan mereka.