Skip to main content
Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

Program Mahasiswa Negara 2026 Bentuk Modal Insan Berintegriti

Oleh : Mohamad Shafiq Mohamad Sharif, Co-fasilitator USM PMN 2026
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 9 Jun 2026 :- Program Mahasiswa Negara (PMN) 2026 diadakan bertujuan untuk menghimpunkan mahasiswa Tahun 1 daripada pelbagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara demi membentuk generasi muda yang berjati diri, berdaya tahan, dan mempunyai semangat patriotisme yang tinggi.

Program yang berlangsung selama tiga hari mengikut zon ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), dan Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (MAKLUM).

Menurut pihak penganjur, PMN merupakan wahana penting untuk melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah memiliki peribadi yang kukuh, berintegriti, serta bersedia untuk memimpin masyarakat pada masa hadapan.

Encik Hafiz Meah Ghouse Meah, Sektor Latihan, Kepimpinan dan Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA ketika ditemui di PLK Balik Pulau, Pulau Pinang berkata, program ini merupakan platform pembangunan mahasiswa yang memberikan penekanan kepada aspek kepimpinan, kenegaraan, integrasi nasional, dan pembangunan sahsiah.

“Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan pelbagai modul serta aktiviti berkumpulan yang menerapkan nilai kerjasama, disiplin, dan semangat cinta akan negara,” ujarnya.

Tambahnya lagi, seramai 30 siswa/siswi akan dipilih mewakili universiti masing-masing bagi mengikuti pelaksanaan modul interaktif yang akan membantu mahasiswa mengasah kemahiran berkomunikasi, berfikir secara kritis, dan memimpin dalam suasana yang kondusif.

Selain pengisian modul, program ini turut berjaya memperkukuh ukhuwah serta membuka ruang bagi perkongsian pengalaman, pertukaran idea, dan pembentukan jaringan kerjasama yang bermanfaat dalam kalangan peserta.

Bagi tahun 2026, PMN dilaksanakan menerusi lapan siri program. Zon Utara telah dipilih sebagai pusat pelaksanaan yang merangkumi tiga lokasi utama, iaitu PLK Kulim di Kedah, PLK Balik Pulau di Pulau Pinang, dan PLK Ulu Kenas di Perak. Siri kelapan program berkenaan dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 26 Julai depan di PLK Ulu Kenas, Perak.