TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD | Kebudayaan

Festival PULARA 2026 Perkukuh Hubungan Komuniti Melalui Seni Warisan Tanah Air

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
MANJUNG, 23 Oktober 2026 – Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) 2026 kembali menganjurkan sambutan seni, budaya, dan warisan menerusi pendekatan baharu yang mendekatkan khazanah tradisi dengan masyarakat setempat.

Menerusi tema “Mengakar Budaya Menjulang Warisan”, festival anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) ini berlangsung selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober 2026 di Manjung, Perak, dengan sasaran kehadiran 20,000 pengunjung.

Penganjuran kali ini memperluas jaringan pertukaran budaya nasional dan antarabangsa dengan penyertaan lebih 2,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), serta lebih 100 pelajar antarabangsa yang mewakili 25 buah negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, berkata bahawa PULARA 2026 menampilkan pendekatan berbeza dengan membawakan pengisian festival terus ke kampung-kampung sekitar Manjung dan tidak lagi tertumpu di satu lokasi sahaja.

“Langkah ini memberi peluang kepada pelajar, penggiat seni, dan pengunjung luar untuk menyelami kehidupan masyarakat setempat, di samping membolehkan penduduk kampung berkongsi tradisi, adat, dan cara hidup mereka secara lebih mendalam dan bermakna.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkap tuan rumah PULARA 2026, Profesor Dato' Dr. Md Amin Md Taff, menyatakan pelaksanaan festival ini disemarakkan menerusi 17 program utama yang merangkumi aktiviti seni, budaya, kemasyarakatan, dan pemindahan ilmu (knowledge transfer), serta 20 program PULARA Masuk Kampung yang dikendalikan oleh Majlis Kesukarelawanan Universiti Awam.

Dalam pada itu, pengisian program PULARA Masuk Kampung 2026 yang bermula pada 23 Oktober melibatkan penyertaan 20 universiti awam yang dibahagikan kepada empat lokasi utama, iaitu Kampung Sungai Wangi, Kampung Pasir Panjang, Taman Samudera, dan Kampung Tanjung Kepah, Lekir.

Bagi aktiviti di Kampung Tanjung Kepah, Lekir yang dikendalikan bersama oleh Sekretariat Kumpulan Kesenian Adikarma Universiti Sains Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), hari pertama diisi dengan aktiviti mencari kepah dan merewang bersama penduduk kampung bagi memupuk semangat gotong-royong.

Acara disusuli pada sebelah malam dengan persembahan kompang oleh Kumpulan Kompang Sudut Warisan pimpinan Encik Md. Noh bagi mengetengahkan seni muzik tradisional Melayu. Setiausaha JPKK Tanjung Kepah, Puan Norhaida Mohd Khairudin turut merakamkan penghargaan kepada penduduk kampung atas kerjasama yang diberikan.

Majlis perasmian dan pengisian festival ini yang berlangsung pada 24 Oktober 2026 turut dihadiri oleh kepimpinan utama IPTA, antaranya Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahya, Ketua Pentadbir BHEPA USM, Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar USM, Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Kebudayaan UniMAP, Dr. Rozilawati Mahadi, Pengarah Pusat Budaya dan Seni UUM (Dr. Azmeer), serta barisan Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor UA, dan ketua-ketua jabatan Daerah Manjung.

Penganjuran PULARA 2026 diharap dapat terus menyemarakkan kecintaan terhadap seni dan budaya tradisional, memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan masyarakat, serta memastikan khazanah warisan bangsa terus dipelihara untuk generasi akan datang.