Skip to main content

G6

Water Fun Run Himpunkan 1,260 Peserta Sempena Hari Air Sedunia 2026

Oleh : Nurain Izzati Azlal
Foto : Jawatankuasa Media World Water Day: Water Fun Run 2026
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 16 Mei 2026 :- Sambutan Hari Air Sedunia 2026 peringkat Negeri Pulau Pinang berlangsung dengan meriah apabila berjaya menghimpunkan seramai 1,260 peserta menerusi program World Water Day Water Fun Run 2026 yang diadakan di Padang Kawad, Universiti Sains Malaysia  pada 16 Mei 2026.

Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 6 iaitu Air Bersih dan Sanitasi, program ini disempurnakan oleh YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang dan turut dihadiri bersama Profesor Dr. Azlan Amran, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Dato’ Ir. Pathmanathan K., Ketua Pegawai Eksekutif PBA serta Prof. Emeritus Dato’ Dr. Chan Ngai Weng, Presiden Water Watch Penang.

Bertemakan “Aktif Jimat Air”, program ini dianjurkan bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat sambil meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penggunaan air secara lestari dan bertanggungjawab demi menjamin kelestarian sumber air untuk generasi akan datang.

Hasil kerjasama antara Pusat Rancangan Kokurikulum (PRK), Rancangan Khidmat Komuniti (RKK) serta Kelab Perancangan dan Pengurusan Pembangunan (3P), program ini diterajui oleh Nurain Izzati Azlal selaku Pengarah Projek Hari Air Sedunia 2026, manakala Syahir Safaraz Salleh bertindak sebagai Pengarah Projek World Water Day Water Fun Run 2026.

Disokong oleh PBA dan WWP sebagai penaja utama, program ini berjaya menghimpunkan peserta dari pelbagai lapisan umur.

Kemeriahan bertambah dengan kehadiran peserta antarabangsa dari China, Indonesia, Jepun, Korea Selatan dan Kenya.

Chow Kon Yeow dalam ucapannya menekankan kepentingan sokongan masyarakat dalam usaha mengurangkan penggunaan air domestik di Pulau Pinang.

"Saya menyeru rakyat agar memainkan peranan secara aktif melalui amalan penjimatan air dalam kehidupan seharian bagi memastikan kecukupan bekalan air dapat dipelihara, khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan pembangunan negeri pada masa hadapan,"ujarnya lagi.

Sementara itu, para tetamu kehormat turut membincangkan pelbagai isu berkaitan pengurusan dan kelestarian sumber air termasuk cabaran perubahan iklim, peningkatan penggunaan air domestik serta kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan, industri, kerajaan dan masyarakat dalam memastikan pengurusan sumber air dapat dilaksanakan secara mampan dan berkesan.

Selain acara larian, sambutan Hari Air Sedunia ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti pertandingan mewarna anjuran Water Watch Penang, cabutan bertuah, persembahan muzik serta pameran daripada pelbagai pihak dan exhibitor yang diselaraskan oleh PBA.

Kehadiran pelbagai reruai pameran turut memberikan pendedahan kepada pengunjung berkaitan pengurusan air dan isu kelestarian alam sekitar.

Justeru, penganjuran program ini dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan sumber air melalui pendekatan yang santai, interaktif dan dekat dengan komuniti.

Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam melahirkan masyarakat yang lebih peka dan bertanggungjawab terhadap kelestarian sumber air demi kesejahteraan bersama.