Skip to main content

USM TERAJUI MAKUM, FEStKUM 2026 DIANGKAT SEBAGAI PLATFORM SENI BUDAYA MAHASISWA

USM PULAU PINANG 22 April 2026 :- Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia terus mengorak langkah progresif apabila menjadi tuan rumah kepada Perbincangan Khas Festival Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (FEStKUM) MAKUM 2026, yang menghimpunkan wakil pegawai MAKUM dari seluruh universiti awam negara.

Perbincangan strategik yang berlangsung pada 14 April 2026 di Bilik Mesyuarat Pejabat Pentadbiran BHEPA itu dipengerusikan oleh Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM merangkap Pengerusi MAKUM. Turut bersama, Profesor Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Universiti Kebangsaan Malaysia selaku Timbalan Pengerusi MAKUM

Selaras dengan aspirasi YB Menteri Pendidikan Tinggi, perbincangan ini menzahirkan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan mahasiswa secara holistik, merangkumi nilai, jati diri serta keunggulan sahsiah. Seni dan budaya terus diangkat sebagai wahana penting dalam membentuk generasi mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah kukuh identiti nasional dan berakar pada warisan bangsa.

Hasil perbincangan, kata sepakat dicapai untuk menganjurkan FEStKUM pada 21 hingga 25 Mei 2026 di Kompleks Cahaya Siswa, BHEPA USM, Kampus Induk Pulau Pinang. Penganjuran secara hibrid turut diperkenalkan, dengan lima acara dilaksanakan secara dalam talian iaitu Teater Monolog, Instrumental Muzik Solo, Tarian Kreatif Solo, Deklamasi Puisi dan Tarian Semi-Klasik. Manakala tiga acara utama akan dipertandingkan secara fizikal iaitu Tarian Rampaian Melayu, Nyanyian Irama Malaysia dan Seni Khat.

Perbincangan ini bukan sekadar medan pertukaran idea, malah menjadi platform strategik dalam memperkukuh jaringan kolaborasi antara institusi, memperkasa pengurusan program kebudayaan serta menyelaras inisiatif berimpak tinggi terhadap pembangunan bakat mahasiswa. Usaha ini turut diperkukuh dengan panduan dan penasihatan daripada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Puan Nur Azreen Hamidi, Penolong Pengarah Sektor Penyerlahan Bakat, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), JPT KPT.

Dengan momentum yang terus dipacu, inisiatif ini diyakini mampu menyumbang kepada pembentukan ekosistem pendidikan tinggi yang lebih dinamik, inklusif dan berdaya tahan, seiring aspirasi Malaysia MADANI dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berimpak global.

Teks: Murshid Md Hussain, Pegawai Kebudayaan BHEPA
Foto/Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA