Kepimpinan
Inisiatif Sarapan Percuma : Bukti Keprihatinan Pengurusan USM
Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
PULAU PINANG, 14 September 2026 :- Amalan hormat-menghormati terus menjadi teras utama dalam mengekalkan perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Demikian ujar Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya kepada 199 pelajar pertukaran antarabangsa dari 23 negara yang mengikuti minggu Fall Semester Orientation Week (OW) 2026 di Dewan Pembangunan Siswa 2, KOMCA, Universiti Sains Malaysia petang tadi.
“Sentiasa prihatin terhadap norma sosial tempatan, sensitiviti seperti etika pemakanan dan perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Dapatkan bantuan dari USM Buddies sebagai panduan,” ujarnya lagi.
Program anjuran Pejabat Antarabangsa USM, dengan penglibatan bersama USM Buddies, memulakan minggu orientasi mereka pada 14 hingga 19 September 2026.
Minggu Orientasi yang dianjurkan ini bertujuan untuk menyalurkan maklumat penting mengenai pengajian, kehidupan kampus, kemudahan, peraturan, serta perjalanan mereka sebagai pelajar antarabangsa di USM.
Sepanjang program ini, USM Buddies memainkan peranan penting dalam membantu Pejabat Antarabangsa menyambut dan membimbing para pelajar bagi memastikan mereka berasa selesa ketika memulakan pengalaman belajar di Malaysia.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Pejabat Antarabangsa USM atas bimbingan, penyelarasan, dan sokongan berterusan sepanjang keseluruhan proses ini.
Penghargaan khas juga ditujukan kepada USM Buddies atas dedikasi, masa, dan komitmen dalam membantu pelajar pertukaran sejak hari ketibaan hinggalah selesai urusan orientasi.
Dengan ketibaan pelajar dari pelbagai negara termasuk Jerman, Jepun, Indonesia, Perancis, India, Bangladesh, Pakistan, Austria, Finland, Belanda, Poland, Kazakhstan, Rusia, China, Brunei, Filipina, Korea Selatan, Jordan, Maghribi, Itali, Sepanyol, Mexico dan Romania, Fall Semester Orientation Week 2026 ini sekali lagi menghimpunkan kepelbagaian dalam kalangan warga USM.
Selamat datang ke Universiti Sains Malaysia