USM RAIH RM92,100 DANA KPT, I-PROLANG PACU KEBOLEHPASARAN GRADUAN
USM PULAU PINANG, 2 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan apabila Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA berjaya memperoleh dana berjumlah RM92,100 daripada Kementerian Pendidikan Tinggi bagi pelaksanaan program I-ProLang : Peningkatan Kemahiran Komunikasi Profesional dan Lokalisasi Digital melalui Kolaborasi Industri Penterjemahan.
Inisiatif berimpak tinggi ini digerakkan dengan pelantikan Dr. Anis Shahirah Abdul Sukur, pensyarah dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan sebagai penyelaras merangkap urusetia program.
Beliau bersama Sektor Kerjaya & Kebolehpasaran Graduan akan memainkan peranan penting dalam proses pemilihan peserta, sekali gus memastikan pelajar yang terlibat berpotensi untuk diperkasa dalam bidang ekonomi digital yang semakin kompetitif.
Lebih menarik, program ini menawarkan nilai tambah yang signifikan apabila peserta bukan sahaja menerima latihan intensif, malah turut diberikan jaminan peluang pekerjaan sebaik tamat pengajian.
Pendekatan ini secara langsung membuka laluan kerjaya yang lebih jelas dan mampan kepada graduan, selari dengan keperluan industri semasa.
Pelaksanaan I-ProLang juga mencerminkan komitmen USM dalam menyokong aspirasi KPT untuk melahirkan graduan holistik, seimbang serta memiliki daya saing tinggi.
Program ini bukan sekadar meningkatkan kemahiran komunikasi profesional, malah memperkukuh keupayaan lokalisasi digital yang menjadi keperluan utama dalam era globalisasi.
Melalui inisiatif ini, USM optimis dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja mampu bersaing di peringkat antarabangsa, malah berupaya menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara melalui penghasilan tenaga kerja yang berkualiti, berkemahiran tinggi dan berdaya tahan.
Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM serta seluruh warga kampus merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan memperoleh dana ini.
Diharapkan pelaksanaan program ini berjalan lancar serta menjadi model rujukan dan penanda aras kepada institusi pendidikan tinggi lain dalam memperkasa kebolehpasaran graduan.
Teks/Foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA