Skip to main content

USM Raih Anugerah Emas Kedua di MBK Ke-14, Muzik Terbaik Jadi Kebanggaan

Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 17 Mei 2026 – Dengan mengangkat tema “Penegap Pinyisamah, Pimanu Warisan”, Malam Bumi Kenyalang (MBK) ke-14 anjuran Perkumpulan Anak-Anak Sarawak Universiti Sains Malaysia (PERKASA USM) berlangsung meriah di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM sebagai platform meraikan keunikan budaya Sarawak serta mengukuhkan semangat kebersamaan warga Bumi Kenyalang di kampus.

Tema yang diketengahkan membawa makna mendalam apabila Penegap Pinyisamah melambangkan penyatuan masyarakat, manakala Pimanu Warisan menggambarkan kesinambungan budaya yang terus dipelihara dari generasi ke generasi.

Keunikan Bumi Kenyalang yang kaya dengan kepelbagaian etnik, seni tari, muzik warisan dan adat resam turut menjadi lambang identiti Sarawak serta medium penting dalam memupuk persefahaman dan perpaduan generasi muda.

Penganjuran edisi kali ini turut menghimpunkan penyertaan daripada tujuh universiti awam seluruh Semenanjung Malaysia, iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia, sekali gus memperkukuh jaringan silaturahim serta apresiasi budaya dalam kalangan mahasiswa.

Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, Prof. Azizah Omar berkata, penganjuran program ini mencerminkan usaha berterusan dalam mengangkat warisan budaya Sarawak selain memperkukuh nilai perpaduan dalam kalangan mahasiswa pelbagai latar belakang.

“Program seperti ini bukan sahaja menjadi wadah pameran budaya, tetapi juga platform untuk memupuk kefahaman, toleransi dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.” Ujarnya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Encik Chua Yong Wei, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Puan Fadzilla Bosman, Penolong Pendaftar Kanan Unit Pengambilan Pelajar, Bahagian Pengurusan Akademik, Jabatan Pendaftar USM merangkap Penasihat PERKASA USM, saudara Azfar Al Hafiz, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM serta saudari Nur Aidawanie Marzuki, Yang Dipertua PERKASA USM.

Selaku Pengarah Projek, saudari Samantha Resua Anak Fabian Kho menyifatkan kejayaan penganjuran MBK ke-14 sebagai hasil komitmen, pengorbanan masa dan semangat kerja berpasukan seluruh jawatankuasa dalam menjayakan program tersebut.

Lebih menarik, MBK edisi ke-14 tampil dengan konsep penilaian berbeza apabila memperkenalkan sistem pengiktirafan melibatkan tiga Anugerah Emas, dua Anugerah Perak dan dua Anugerah Gangsa.

UPSI dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Emas Pertama sekali gus muncul pemenang utama selepas turut mengungguli kategori Koreografi Terbaik, Busana Terbaik, DAARI GAP dan Dayung Sangun Terbaik.

 Sementara itu, USM meraih Anugerah Emas Kedua serta turut cemerlang apabila memenangi kategori Muzik Terbaik, manakala UiTM meraih Anugerah Emas Ketiga.

MBK ke-14 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang menerusi persembahan khas penyanyi terkenal Kaka Azraff yang berjaya memukau lebih 1,500 tetamu, sekali gus menyemarakkan lagi malam apresiasi budaya yang meraikan warisan Bumi Kenyalang serta memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan mahasiswa pelbagai latar belakang.