Skip to main content

G8G17

USM PERKASA KEUSAHAWANAN SOSIAL SERANTAU MELALUI KOLABORASI STRATEGIK BERSAMA NAMA FOUNDATION

USM, PULAU PINANG, 28 April 2026 – Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju keusahawanan sosial dan pembangunan komuniti mampan melalui penganjuran Program COMPASSION–SDC Social Enterprise @NAMA Forum bersama NAMA Foundation yang berlangsung di Dewan Bankuet, Canselori 2, USM pada 24 April 2026 baru-baru ini.

Program berimpak tinggi ini menghimpunkan kolaborasi strategik antara Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), NAMA Foundation, Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA serta Pejabat Jaringan Komuniti USM dalam memperkukuh pelaksanaan COMPASSION Framework (Community Program for Sustainable Impact Mission) di peringkat universiti.

Inisiatif ini menonjolkan peranan perusahaan sosial sebagai pemacu perubahan yang menghubungkan ilmu akademik, inovasi pasaran dan keperluan sebenar masyarakat, sekali gus mengangkat mahasiswa sebagai ejen transformasi sosioekonomi.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dr. Azlan Amran, menekankan kepentingan penginstitusian perusahaan sosial sebagai strategi pasca intervensi bagi memastikan kelestarian impak komuniti.

“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan komuniti terhadap bantuan jangka pendek, malah membina ekosistem keusahawanan sosial yang berdaya tahan serta berteraskan pemilikan komuniti.”

Program ini turut menampilkan perkongsian ilmiah bertajuk Social Entrepreneurship in Asia: Bridging Academic & Impact oleh Dr. Cheah Sau Seng. Sesi ini menekankan peranan model hibrid yang menggabungkan misi sosial dan pasaran dalam merapatkan jurang antara sektor awam, swasta dan komuniti terpinggir. Perusahaan sosial turut diketengahkan sebagai jambatan antara ilmu akademik, inovasi dan keperluan sebenar masyarakat, sekali gus membuka ruang kepada mahasiswa untuk menjadi ejen perubahan.

Selain itu, Encik Zulhimli Mohamed dari NAMA Foundation membentangkan pendekatan strategik dalam memperkasa impak komuniti secara mampan. Kerjasama ini membuka peluang kepada perkongsian pengetahuan, amalan terbaik dan inkubasi projek berpotensi tinggi. Profesor Madya Ts. Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak pula menjelaskan bahawa COMPASSION memastikan projek komuniti berkembang secara lestari dan berpotensi menjadi exit-ready social enterprises melalui sokongan latihan serta jaringan strategik.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam mendukung Matlamat Pembangunan Mampan khususnya SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) dan SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat).

Melalui pemerkasaan keusahawanan sosial dan jaringan kolaborasi strategik merentas sektor serta sempadan, inisiatif ini berupaya memacu pertumbuhan ekonomi inklusif, memperkukuh daya tahan komuniti dan memperluas impak pembangunan mampan di peringkat serantau.

Teks: Luqman Jasni,
Sektor Keusahawanan dan Inovasi BHEPA
Foto: MPRC USM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA