Skip to main content

USM Perkasa Bakat STEM Melalui Pertandingan Matematik 2026

Oleh : Persatuan Sains Matematik

USM, PULAU PINANG, 18 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai institusi peneraju pembangunan bakat STEM negara menerusi penganjuran Pertandingan Matematik USM 2026 yang berjaya menghimpunkan ratusan pelajar cemerlang dari seluruh wilayah utara tanah air dalam suasana persaingan akademik yang mencabar dan berprestij.

Dianjurkan oleh Persatuan Sains Matematik (MATHSOC) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Matematik, pertandingan bertemakan “Nurturing Creative Mind” itu menjadi platform strategik dalam mencungkil potensi generasi muda melalui pendekatan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT)

Selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan modal insan berkualiti, inovatif dan berdaya saing seperti yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia, pertandingan yang berlangsung di Dewan Kuliah S itu menerima sambutan memberangsangkan apabila merekodkan sebanyak 823 penyertaan melibatkan pelajar sekolah menengah dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Daripada jumlah tersebut, 372 peserta bertanding dalam kategori junior manakala 451 lagi dalam kategori senior dan akhirnya hanya 100 peserta terbaik berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir secara fizikal di USM selepas melepasi sesi saringan atas talian yang diadakan pada 25 April lalu.

Dr. Nur Fariha Syaqina ZulkepIi selaku Penasihat melihat pertandingan seumpama ini bukan sahaja menguji keupayaan kecekapan Matematik peserta, malah memainkan peranan penting dalam membentuk generasi pelajar yang memiliki daya fikir kritis, kemahiran menyelesaikan masalah dan keyakinan diri yang tinggi.

Pengarah Projek, Siti Nurul Atiqah Mazlan pula menyifatkan pertandingan ini sebagai wadah penting dalam membentuk budaya persaingan sihat dan kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar sekolah.

Bagi kategori junior, Yu Shuang Wong dari SMJK Ave Maria Convent berjaya muncul juara selepas mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan berlangsung.

Dalam kategori senior pula, Isaac Lim Zhi Yann dari Sekolah Tenby, Ipoh menepati ramalan apabila merangkul gelaran juara manakala Anugerah Sekolah Terbaik menjadi milik Sekolah Menengah Kebangsaan Jit Sin, Bukit Mertajam atas pencapaian konsisten yang ditampilkan sepanjang pertandingan.

Kejayaan penganjuran Pertandingan Matematik USM 2026 sekali lagi membuktikan komitmen berterusan USM dalam memperkasa pendidikan STEM serta melahirkan generasi muda yang berilmu, kompetitif dan berupaya menjadi pemimpin masa depan negara berteraskan inovasi, kecemerlangan akademik dan pemikiran kritis.