Skip to main content

G4

Komponen Generik MyCSD : Reka Cipta dan Inovasi

USM–MDEC Perkasa Bakat Digital Mahasiswa

Oleh : Sektor Keusahawanan dan Industri, Pusat Pembangunan Pelajar
Foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 26 Mei 2026 – Agenda pemerkasaan bakat digital mahasiswa terus diperkasa menerusi penganjuran Program Transformasi Digital: Usahawan IT Pilihan Utama dalam Era Revolusi Teknologi, hasil kerjasama strategik Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang berlangsung di Pusat Pengajian Pengurusan, USM.

Program intensif selama tiga hari itu menghimpunkan seramai 100 orang pelajar USM sebagai platform strategik untuk memperkasa kemahiran digital serta menyemarakkan budaya keusahawanan teknologi selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia yang menekankan pembangunan graduan berdaya tahan, berkemahiran tinggi dan berorientasikan masa hadapan dalam ekosistem digital dan keusahawanan.

Peserta didedahkan kepada modul latihan berimpak tinggi merangkumi pembangunan laman web, reka bentuk digital serta strategi pemasaran dan promosi dalam talian melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning) yang memperkukuh kemahiran teknikal, kreativiti, inovasi serta keupayaan adaptasi terhadap perubahan teknologi.

Nik Naharuddin Mohd Nasir, Pengarah, Bakat & Keusahawanan Digital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menegaskan kepentingan pembangunan bakat digital sebagai persediaan mendepani perubahan landskap pekerjaan masa hadapan.

“Penguasaan kemahiran digital dan pemikiran keusahawanan merupakan elemen penting dalam melahirkan modal insan yang relevan, adaptif dan mampu mencipta peluang dalam ekonomi digital,” katanya.

Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA yang merasmikan majlis penutupan berkata program ini berperanan melahirkan graduan berdaya saing, bukan sahaja dari aspek teknikal, malah sebagai usahawan digital yang mampu menembusi pasaran global.

“Mahasiswa perlu bersedia dengan kemahiran digital yang mantap serta keupayaan mencipta nilai melalui inovasi dan keusahawanan,” ujarnya.

Sijil kompetensi turut disampaikan kepada para peserta sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan pencapaian mereka, sekaligus mencerminkan usaha berterusan USM dalam memperkukuh ekosistem pembangunan bakat digital melalui kerjasama strategik bersama industri.