Skip to main content

G3

Komponen Generik MyCSD : Kesukarelawanan

Program Derma Darah USMKLE 4

Program Derma Darah USMKLE 5

Program Derma Darah USMKLE 6

USM-KLE Perkasa Agenda Kesihatan Melalui Program Hari Derma Darah 2.0

Oleh : Exco Kesihatan MedSoc USM-KLE 25/26
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM-KLE BELGAUM, 19 Jun 2026 – Semangat kesukarelawanan dan keprihatinan sosial terus disemarakkan apabila Exco Kesihatan MedSoc Sesi 2025/2026 dengan kerjasama staf KLE’s Dr. Prabhakar Kore Hospital menganjurkan Program Hari Derma Darah 2.0 di kampus USM-KLE.

Sebagai platform memperkukuh budaya derma darah serta menyokong usaha memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi demi kesejahteraan masyarakat, program yang berlangsung pada 13 Jun 2026 itu menerima sambutan amat memberangsangkan.

Dengan penyertaan seramai 80 orang pelajar USM-KLE, mereka tampil secara sukarela untuk menyumbang darah.

Di bawah pengurusan Pengarah Program, Muhammad Nuraiman Iskandar Bin Irwan Zaki, penglibatan mereka mencerminkan kesedaran tinggi, rasa tanggungjawab sosial dan komitmen warga kampus dalam menjayakan misi kemanusiaan yang mampu menyelamatkan nyawa.

Program ini bukan sahaja membuka peluang kepada peserta untuk menyumbang darah, malah memperkukuh kesedaran mereka terhadap prosedur pendermaan, syarat kelayakan dan amalan gaya hidup sihat melalui pelaksanaan yang sistematik serta mematuhi piawaian keselamatan dan prosedur perubatan yang ditetapkan.

Bagi menampung keperluan pesakit yang memerlukan rawatan kritikal, program ini berjaya merekodkan kutipan sebanyak 69 beg darah.

Selaras dengan SDG 3: Kesihatan Yang Baik dan Kesejahteraan, program ini turut mencerminkan komitmen mereka dalam memperkasa kesejahteraan masyarakat dengan melahirkan pelajar yang berjiwa sukarelawan, bertanggungjawab sosial dan aktif menyumbang kepada kelangsungan sistem kesihatan.

Program ini menjadi manifestasi keprihatinan yang mengalir sebagai harapan baharu kepada masyarakat, memperkukuh komitmen mereka dalam melahirkan mahasiswa berjiwa kemanusiaan.

Selaras dengan aspirasi Students for Society (S4S) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Teras Kesihatan dan Kesejahteraan, program ini turut memberi fokus kepada pemerkasaan kesihatan komuniti, pembudayaan gaya hidup sihat serta sokongan berterusan terhadap sistem kesihatan yang mampan dan inklusif.