Skip to main content

G3

USM DEKATKAN PERKHIDMATAN KAUNSELING MELALUI PROGRAM UK OUTREACH @ SCHOOL

USM, PULAU PINANG, 3 April 2026 – Dalam usaha mendekatkan perkhidmatan kaunseling kepada mahasiswa, Unit Kaunseling, BHEPA USM telah menganjurkan program UK Outreach @ School di ruang legar Kompleks Dewan Kuliah H – R pada 1 April 2026 baru-baru ini.

Berteraskan pendekatan santai dan mesra, program ini membawa kaunseling keluar daripada ruang formal ke kawasan tumpuan pelajar. Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang interaksi yang lebih terbuka, malah menjadi jambatan yang menghubungkan pelajar dengan sokongan psikososial secara lebih dekat dan mudah diakses. Kaunselor pelatih memainkan peranan aktif dengan mendekati pelajar dan memperkenalkan perkhidmatan kaunseling yang tersedia.

Pelbagai aktiviti menarik disajikan termasuk peluang kepada pelajar menjalani ujian psikometrik sebagai saringan awal kesejahteraan diri, selain menyertai aktiviti terapi seni yang membolehkan mereka mengekspresikan emosi secara kreatif dalam suasana santai. Pendekatan ini bukan sahaja membantu pelajar memahami diri dengan lebih baik dan membuka perspektif baharu terhadap kaunseling, malah berjaya menarik penyertaan yang memberangsangkan dengan lebih 100 pelajar mendaftar, termasuk 45 orang yang menerima konsultasi ujian psikologi secara langsung.

Seiring dengan SDG 3 : Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan, program ini merupakan langkah proaktif dalam memupuk kesedaran serta menggalakkan pelajar mendapatkan bantuan lebih awal sebelum isu menjadi lebih serius.

Untuk memastikan impak program diperluaskan, UK Outreach akan diteruskan secara bersiri pada beberapa lokasi tumpuan di sekitar kampus. Pelaksanaan berperingkat ini membolehkan lebih ramai mahasiswa daripada pelbagai pusat pengajian turut serta, sekaligus meningkatkan akses kepada perkhidmatan kaunseling secara menyeluruh.

Teks/foto: Unit Kaunseling BHEPA
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA

Rangkuman program dan aktiviti yang telah dijalankan oleh warga kerja dan pelajar Universiti Sains Malaysia.