Skip to main content

G4G17

Komponen Generik MyCSD : Kepimpinan

UniVIP 2026 Asah Bakat Kepimpinan dan Kesukarelawanan Mahasiswa USM

Oleh : Sekretariat Sukarelawan USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG 25 Jun 2026 – Komitmen Universiti Sains Malaysia dalam melahirkan mahasiswa berjiwa sukarelawan dan memiliki kualiti kepimpinan tinggi terus diperkukuh apabila dua pelajar USM menyertai University Volunteer Induction Programme (UniVIP) 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Jun 2026 di Pusat Asasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Dengkil.

Program anjuran Majlis Kesukarelawanan Universiti Malaysia (MASKUM) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama UiTM itu menghimpunkan kira-kira 320 mahasiswa daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta seluruh negara bagi memperkasa kemahiran kepimpinan, memupuk semangat kesukarelawanan serta membina jaringan strategik antara universiti.

Deligasi USM diwakili Nurul Ain Othman dan Yasmin Husna Amizi, mahasiswa Tahun Tiga dari Pusat Pengajian Pengurusan, membuktikan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa mahasiswa melalui semangat sukarelawan dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan masyarakat serta negara.

Pengarah Pusat Kesatria dan Kokurikulum, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UiTM, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Hajar Hasrol Jono menyeru para peserta agar terus menyumbang kepada masyarakat dengan mengekalkan semangat kesukarelawanan serta bersedia menjadi pemangkin perubahan positif demi kesejahteraan negara.

Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pelbagai pengisian berimpak tinggi termasuk bengkel kepimpinan, sesi perkongsian bersama pakar serta latihan simulasi bencana.

Pengisian tersebut berjaya memperkukuh kemahiran komunikasi, kerja berpasukan dan pemikiran strategik, di samping meningkatkan kesiapsiagaan, daya tahan serta keupayaan sukarelawan muda dalam mengurus cabaran dan situasi kecemasan secara efektif.

Melalui pendekatan holistik yang menekankan kesejahteraan mental dan daya tahan diri, program ini berjaya memperkasakan peserta dengan kemahiran merancang dan mengurus sumber secara strategik serta membina kerjasama mampan bersama pelbagai agensi serta NGO.

Penyertaan mahasiswa USM dalam UniVIP 2026 bukan sahaja memperkukuh kompetensi kepimpinan, kesukarelawanan dan pembangunan kapasiti mahasiswa, malah menyokong aspirasi SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat melalui pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan organisasi masyarakat dalam melahirkan sukarelawan yang kompeten dan berdaya tahan.