UNIT KAUNSELING USM SUNTIK NILAI KEPIMPINAN DAN SAHSIAH MELALUI KEM PEMBANGUNAN
USM PULAU PINANG 24 April 2026 :- Unit Kaunseling, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Universiti Sains Malaysia telah diberi kepercayaan untuk menerajui Program Kem Kepimpinan Pemimpin Muda yang melibatkan murid Sekolah Kebangsaan Convent 1 Butterworth.
Melalui enam Teras Pembangunan Komuniti yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, program ini memfokuskan tiga teras utamanya iaitu Pengurusan Kemanusiaan, Pendidikan Berkualiti, Kesihatan dan Kesejahteraan.
Program ini melibatkan penyertaan seramai 66 orang murid pengawas dari Tahun 4 hingga Tahun 6 di bawah bimbingan Guru Besar, Puan Za’imah Idris, yang turut menyokong penuh pelaksanaan program ini sebagai usaha memperkasa potensi kepimpinan murid sejak peringkat awal persekolahan.
Bertempat di Pusat Latihan Sukan Air Teluk Kumbar, program ini berlangsung dalam suasana pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan dengan penekanan terhadap pembangunan kemahiran sosial, komunikasi dan kerja berpasukan melalui pendekatan modul interaktif yang berimpak tinggi serta berasaskan pengalaman sebenar.
Mengangkat tema “Kepimpinan Murid”, program ini memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu pembentukan sahsiah unggul, pengukuhan nilai kepimpinan dan pemantapan kemahiran komunikasi.
Sepanjang program, peserta dibimbing oleh barisan Kaunselor Pelatih Unit Kaunseling BHEPA USM yang mengaplikasikan pendekatan kreatif, interaktif serta penghayatan nilai seperti empati, tanggungjawab dan kreativiti.
Antara pengisian yang mencuri perhatian ialah aktiviti “Cukupkan Saya” yang menguji semangat kerjasama, kepercayaan serta penghargaan terhadap sumbangan rakan sepasukan dalam menyempurnakan tugasan, sekali gus membina kesedaran dan semangat saling melengkapi dalam kalangan peserta, diikuti dengan aktiviti “Draw with The Rope” yang mencabar peserta untuk berfikir secara kreatif, berkomunikasi tanpa kata serta menzahirkan kesabaran dan fokus dalam menyelesaikan tugasan berkumpulan.
Program ini bukan sahaja memberi pengalaman pembelajaran yang bermakna kepada peserta, malah turut memperkukuh pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan dalam kalangan murid.
Penglibatan Unit Kaunseling USM mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa pembangunan komuniti, khususnya dalam melahirkan generasi muda yang berkeyakinan, berdaya saing serta seimbang dari aspek emosi, sahsiah dan nilai kehidupan.
Teks/foto: Unit Kaunseling BHEPA USM
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA