TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT
Komponen Generik MyCSD : Sukan

Temasya Olahraga Tahunan USM Ke-49 Labuh Tirai Dengan Semangat Inklusif

Oleh : NirMaryadi Rashid, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 8 Jun 2026 – Temasya Olahraga Tahunan (TOT) Universiti Sains Malaysia (USM) Kali Ke-49 melabuhkan tirainya kelmarin di Stadium Olahraga USM Kampus Induk, selepas tiga hari berlangsung dengan penuh gilang-gemilang.

Penganjuran edisi kali ini melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya memperkenalkan kategori Sukan Paralimpik (SUKPA) dalam senarai acara yang dipertandingkan.

Naib Canselor USM, Profoesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, pengenalan kategori baharu tersebut mencerminkan komitmen jitu universiti dalam memperkasakan sukan inklusif, sekali gus meraikan kepelbagaian keupayaan warga kampus.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan penglibatan hampir 550 atlet yang terdiri daripada 350 pelajar (sembilan kontinjen desasiswa) dan 200 staf (empat kontinjen kampus), di samping penyertaan daripada kontinjen alumni serta pelajar sekolah.

“Syabas dan tahniah kepada semua atlet yang telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi. Sepanjang temasya berlangsung, hampir 90 acara trek dan balapan telah dipertandingkan.

"Ini jelas menunjukkan komitmen dan sokongan menyeluruh daripada seluruh warga USM,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan temasya tersebut.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Prof. Dr. Hairul Anuar Hashim turut memuji kecekapan hampir 150 Jawatankuasa Pengelola Mahasiswa yang mengendalikan kejohanan berkenaan.

Menurutnya, komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh barisan jawatankuasa tersebut telah membuktikan kompetensi kepimpinan berteraskan semangat 'We Lead' dalam memastikan kelancaran sepanjang temasya berlangsung.

Majlis penutupan tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar Bahagian Hal Ehwal Pelajar & Alumni, Prof. Dr. Azizah Omar; barisan Majlis Penggawa Desasiswa; Majlis Penghuni Desasiswa; Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta pegawai-pegawai kanan BHEPA.