TPL_YOOTHEME_SKIP_TO_MAIN_CONTENT

G8

Komponen Generik MyCSD : Reka Cipta dan Inovasi

Team IT USM Cetus Impak Komuniti Melalui EmpowerMom Creation, Menang Gangsa IDCT 2.0

Oleh : Lee Zhi Syeh / Nurul Afiqah Ahmad Tarmizi
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG 19 Jun 2026 – Bagi memperkasa komuniti ibu tunggal golongan berpendapatan rendah (B40) di Batu Uban, Pulau Pinang, Team IT Universiti Sains Malaysia berjaya meraih Anugerah Gangsa dalam pertandingan Impact Digital Community Tourism (IDCT) 2.0 yang berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak pada 14 Jun 2026.

Menerusi kerjasama strategik di bawah Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, projek EmpowerMom Creation yang dilaksanakan membuktikan kejayaan mereka dalam memperkasa komuniti ibu tunggal melalui pembangunan kemahiran, pendigitalan pemasaran dan penjenamaan produk, selaras dengan aspirasi IDCT untuk memperkukuh pembangunan komuniti dan pelancongan berasaskan komuniti.

Di bawah pimpinan Lee Zhi Syeh, Team IT USM telah membangunkan laman web rasmi EmpowerMom Creation, memperkenalkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) sebagai sumber inspirasi dalam pembangunan produk dan strategi pemasaran serta memperkukuh kehadiran digital projek menerusi platform media sosial dan kandungan promosi bagi meningkatkan keterlihatan produk komuniti kepada khalayak yang lebih luas.

Sepanjang pelaksanaan program, hampir 50 orang ibu tunggal B40 menerima manfaat melalui pelbagai bengkel kemahiran merangkumi penghasilan produk crochet, lilin aromaterapi dan sabun buatan tangan yang berpotensi untuk menjana pendapatan tambahan serta mempunyai nilai komersial sebagai cenderamata, hadiah korporat dan produk komuniti yang boleh dipasarkan kepada pelancong serta organisasi.

Program IDCT merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang menggalakkan mahasiswa mengaplikasikan ilmu dan teknologi bagi menyelesaikan cabaran komuniti serta mewujudkan impak yang mampan.

Kejayaan Team IT USM membuktikan bahawa penggunaan teknologi digital, inovasi dan penglibatan komuniti mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti yang lebih inklusif, berdaya saing dan lestari.

Pencapaian Anugerah Gangsa ini sekali lagi menyerlahkan keupayaan mahasiswa USM sebagai pemacu inovasi sosial dan transformasi digital yang memberi impak kepada masyarakat, selari dengan SDG 8 : Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi melalui pemerkasaan kemahiran, pendigitalan keusahawanan serta peningkatan daya saing produk dalam mewujudkan peluang ekonomi yang lebih inklusif dan mampan kepada golongan ibu tunggal.

Seluruh warga Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Sains Malaysia merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Team IT USM atas kejayaan membanggakan ini serta berharap agar kecemerlangan yang ditunjukkan akan terus menjadi inspirasi kepada mahasiswa dalam menerajui inovasi yang memberi impak kepada masyarakat.