![]()
![]()
SUNTIK 10 GAYA HIDUP RAKAN MUDA, IMPAK 2026 HIMPUN MAHASISWA SELURUH NEGARA DI USM
USM, PULAU PINANG, 23 April 2026 – Sekretariat Rakan Muda Universiti Sains Malaysia (SRMUSM) terus memacu kecemerlangan belia melalui penganjuran Program Rakan Muda: IMPAK 2026 Peringkat Kebangsaan. Program ini berjaya menghimpunkan ratusan mahasiswa dari seluruh negara menerusi dua pengisian utama: Diskusi NextGen Kali Ke-16 dan Piala Rakan Muda 2026.
Inisiatif ini merupakan manifestasi jelas sokongan terhadap SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan Baik) serta SDG 17 (Kerjasama Demi Matlamat), sekali gus menyahut seruan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam melahirkan generasi yang holistik.
Diskusi NextGen yang berlangsung pada 18 April 2026 bertemakan “Sync-Up 2026: Connecting Young Minds” telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya. Seramai lebih 300 perwakilan Sekretariat Rakan Muda (SRM) dari pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berkumpul bagi membincangkan hala tuju kepimpinan muda yang kritis dan kompetitif.
Kemuncak program diteruskan pada 19 April menerusi Rakan Aktif: Piala Rakan Muda 2026 di Kompleks Belia dan Sukan Pulau Pinang. Seramai 333 peserta daripada 15 universiti telah mempamerkan semangat kesukanan tinggi melalui acara dodgeball dan pelbagai sukaneka (mini games).
Pegawai Pembangunan Rakan Muda Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang, Encik Abdul Hamid Haji Mohd Yassin, menyifatkan penganjuran ini sebagai platform impak tinggi yang melangkaui aktiviti riadah biasa.
"Program ini bukan sekadar memberi manfaat kepada peserta yang hadir, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan komuniti belia yang lebih dinamik dan progresif secara keseluruhannya," ujar beliau.
Program IMPAK 2026 direka khas untuk menyuntik nilai-nilai teras Kementerian Belia dan Sukan melalui 10 Gaya Hidup Rakan Muda yang diberi nafas baharu iaitu Rakan Aktif (Gaya hidup sihat dan aktif), Rakan Demokrasi (Kesedaran demokrasi dan kenegaraan), Rakan Litar (Aktiviti bermotor dan kompetitif), Rakan Digital (Media digital dan inovasi teknologi), Rakan Ekspresi (Karya dan bakat kreatif), Rakan Muzik (Bakat muzik dan persembahan kreatif), Rakan Mahir (Kemahiran teknikal dan vokasional), Rakan Niaga (Keusahawanan dan inovasi ekonomi), Rakan Bumi (Kelestarian alam sekitar) dan Rakan Prihatin (Kesukarelawanan dan khidmat komuniti).
Melalui program ini, SRMUSM komited terhadap fokus KBS untuk memperkasa 10 Gaya Hidup Rakan Muda sebagai aset strategik negara. Dengan memperkukuh jati diri dan semangat kolaborasi nasional, IMPAK 2026 memastikan mahasiswa bukan sahaja cemerlang secara akademik, malah memiliki daya saing yang kental untuk mendepani cabaran masa hadapan.
Teks/foto : Sekretariat Rakan Muda USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA