![]()
SUKASS dan MPP USM Jayakan eGIP 2026, Perkukuh Agenda Kelestarian Alam
USM, PULAU PINANG 15 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia terus memperkukuh komitmen terhadap agenda kelestarian alam sekitar apabila menghantar seramai 10 wakil yang terdiri daripada tujuh ahli Sekretariat Sukarelawan USM (SUKASS) dan tiga wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM bagi menyertai Eco Guardian Initiative Programme (eGIP) 2026.
Berlangsung di UMKTRaCe, Hutan Hujan Royal Belum-Temengor, Gerik, Perak pada 10 -12 Mei 2026 baru-baru ini, program anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Majlis Sukarelawan Universiti Awam Malaysia (MASKUM), Universiti Malaysia Kelantan, Yayasan Perkasa Siswa dan Pulau Banding Foundation itu berjaya mencipta sejarah apabila direkodkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi kategori “The Most Trees Assessed in a Forest Health Monitoring Programme” dengan penilaian melibatkan sebanyak 1,019 pokok hutan.
Menghimpunkan lebih 249 sukarelawan mahasiswa daripada IPTA dan IPTS seluruh Malaysia, program ini menjadi platform penting dalam memperkukuh kesedaran berkaitan kelestarian alam sekitar serta usaha pemuliharaan biodiversiti negara.
Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk pemantauan kesihatan hutan, penilaian diameter dan ketinggian pokok, pemerhatian biodiversiti, penanaman pokok serta aktiviti plogging di sekitar kawasan program.
Delegasi USM diiringi oleh Cik Nur Anis Atikah Almizan, Pegawai Tadbir, Sektor Latihan, Kepimpinan & Kesukarelawanan selaku pegawai pengiring.
Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar JPT, Encik Hirman Awang berkata, eGIP 2026 merupakan inisiatif strategik dalam memperkukuh agenda penjagaan alam sekitar serta membudayakan kesedaran kelestarian dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa UMK, Prof. Dr. Huzili Hussin; Pendaftar UMK, Encik Khairul Eruwan Ab. Halim; serta Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMS, Prof. Dr. Raman Noordin selaku Pengerusi MASKUM bersama beberapa wakil agensi strategik lain.
Penyertaan dalam program ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada mahasiswa USM mengenai kepentingan menjaga keseimbangan ekosistem, malah turut menyemarakkan semangat kesukarelawanan, kepimpinan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar. Penglibatan aktif mahasiswa dalam inisiatif seperti eGIP 2026 juga selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan prihatin terhadap kelestarian alam sekitar demi kesejahteraan generasi masa hadapan.