![]()
![]()
![]()
SRM USM PERKASAKAN ELEMEN RAKAN PRIHATIN DAN SDG BERSAMA KOMUNITI BALING
USM PULAU PINANG, 10 Mei 2026 :- Semangat kesukarelawanan yang tinggi terus disuburkan apabila seramai 52 orang mahasiswa daripada Sekretariat Rakan Muda Universiti Sains Malaysia (SRMUSM) berjaya menyempurnakan program "BAKTISISWA: SISWA PRIHATIN, MASYARAKAT SEJAHTERA" di Kampung Sungai Limau, Baling, Kedah baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama tiga hari bermula 2 Mei 2026 ini bukan sekadar aktiviti kemasyarakatan biasa, malah merupakan inisiatif murni dalam mendukung inisiatif oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui salah satu daripada 10 gaya hidup (Rakan Prihatin : Kesukarelawanan dan Khidmat Komuniti) yang dekat dengan minat, bakat dan impak belia.
Inisiatif SRMUSM ini turut memperkasakan Matlamat Pembangunan Mampan yang berfokuskan kepada SDG 1 : Tiada Kemiskinan, SDG 11 : Bandar dan Komuniti Mampan, serta SDG 17 : Kerjasama demi Matlamat.
Bertemakan "Beyond Limits, Together Stronger", acara ini berjaya menyatukan mahasiswa dan komuniti setempat menerusi pelbagai pengisian bermakna, antaranya ialah program keluarga angkat, aktiviti gotong-royong dan tradisi rewang serta sukan rakyat yang memupuk keceriaan dalam kalangan penduduk.
Selain sumbangan tenaga, kehadiran para mahasiswa ini turut membawa bantuan fizikal melalui penyerahan bakul makanan, sekali gus memberikan sokongan moral kepada keluarga kurang berkemampuan di kawasan pedalaman tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Sg. Limau, Encik Suhaimi Bin Jusoh, memuji komitmen para peserta yang bersungguh-sungguh mendalami realiti kehidupan masyarakat luar bandar.
"Kami berharap program ini menjadi titik mula bagi kerjasama berterusan antara USM dan komuniti Baling. Melihat keakraban yang terjalin, saya yakin misi yang dibawa ialah untuk melahirkan mahasiswa yang cakna masyarakat," katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah Projek, Saudara Muhammad Zafrul Bin Rahizan, melahirkan rasa syukur atas sambutan hangat yang diberikan oleh penduduk kampung. Beliau menyifatkan keakraban yang terjalin antara mahasiswa dan keluarga angkat sebagai bukti objektif program tercapai.
"Penglibatan aktif mahasiswa dalam elemen H.E.B.A.T melalui program sebegini diharapkan dapat melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah seimbang dari sudut sahsiah dan kepedulian sosial," jelas beliau semasa majlis penutupan.
Sebagai nilai tambah, para peserta turut berpeluang merasai keunikan suasana kehidupan kampung, termasuk sesi makan malam secara layan diri (juadah bawaan) dan aktiviti jelajah kampung bersama penduduk tempatan.
Teks/foto : Sekretariat Rakan Muda
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA