![]()
SPIN USM ANJUR BUBBLE RUN 2026 : MEMBUGAR KREATIVITI, MEMPERKUKUH INTEGRASI NASIONAL
USM PULAU PINANG, 19 April 2026 – Acara larian kini bukan lagi sekadar platform untuk menyihatkan tubuh badan, suntikan elemen inovasi dalam penganjuran sukan dilihat menjadi daya penarik utama dalam memastikan mesej perpaduan sampai kepada generasi muda dengan cara yang lebih santai dan meriah.
Penganjuran Bubble Run 2026 sejauh 5 kilometer (5KM) yang julung kali diadakan oleh Sekretariat Perpaduan dan Integrasi Nasional (SPIN) di Universiti Sains Malaysia membuktikan keberkesanan formula tersebut. Kehadiran hampir 800 peserta yang terdiri daripada mahasiswa, staf, dan komuniti setempat telah menukarkan pengakhiran larian menjadi sebuah "lautan buih" yang penuh dengan semangat muhibah.
Selain mempromosikan gaya hidup aktif selaras dengan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan), program ini turut menekankan aspek kebersamaan dalam kepelbagaian.
Penasihat SPIN, Encik Zuhairi Akimi, menegaskan bahawa aktiviti riadah seperti ini merupakan peluang terbaik untuk memperkukuh jalinan ukhuwah antara kaum.
“Acara larian adalah sukan yang paling demokratik, di garisan permulaan, tiada batasan sosio-ekonomi atau etnik yang memisahkan kita. Semua berlari dengan matlamat yang sama, sekali gus memupuk semangat keluarga Malaysia yang jitu dalam menjayakan agenda nasional,” ujar beliau.
Senada dengan itu, Pengarah Projek Bubble Run 2026, Saudara Choong Shao Kang, menyifatkan program ini sebagai manifestasi kepada peranan SPIN dalam memperjuangkan integrasi nasional.
“Kami ingin membina satu proses dinamik yang menyatupadukan pelbagai kelompok masyarakat menerusi identiti nasional yang satu. Melalui penyesuaian fizikal dan interaksi sosial di sepanjang larian ini, kita sebenarnya sedang meruntuhkan tembok stereotaip dan membina jambatan kepercayaan antara satu sama lain,” katanya.
Kemeriahan acara turut mendapat sokongan padu daripada rakan strategik, termasuk Encik Kayden Ang, wakil Lion Club of Penang Outreach selaku penaja bersama. Kerjasama erat ini turut diperkukuhkan lagi dengan kehadiran Saudara Kua Zi Jian, Eksekutif Hal Ehwal Pertubuhan Pelajar dan Pembangunan Bakat, MPP USM serta sokongan teknikal dan keselamatan daripada pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarela Bukit Bendera, Air Itam..
Kejayaan Bubble Run 2026 ini membuktikan bahawa apabila kreativiti digabungkan dengan semangat perpaduan, ia bukan sahaja menghasilkan impak kesihatan yang positif, malah menjadi pemangkin kepada keharmonian masyarakat yang lebih inklusif dan progresif.
Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA