SKUAD ‘CIKGU IN ACTION’ USM BUKTIKAN DOMINASI DALAM ARENA BOLA SEPAK SCHOOL CHAMPIONSHIP CUP (SCC) 2026
USM PULAU PINANG, 24 April 2026 – Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan FC (PPIP FC) terus mengukuhkan dominasi mereka apabila sekali lagi melakar sejarah dinobatkan sebagai juara School Championship Cup (SCC) 2026 di Stadium Olahraga, Pusat Sukan dan Rekreasi, Kampus Induk malam tadi.
Kemenangan itu diraih selepas skuad ‘Cikgu in Action’ berjaya menewaskan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan FC (PPSK FC) menerusi penentuan sepakan penalti, susulan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa permainan sebenar.
Meskipun serangan demi serangan dilancarkan oleh kedua-dua pasukan, disiplin kental barisan pertahanan serta ketumpulan penyelesaian di depan gol menyebabkan perlawanan buntu sehingga wisel penamat ditiupkan.
Kecemerlangan individu turut diiktiraf pada malam tersebut apabila Wan Muhammad Ashraff Wan Zaki dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak, manakala Muhamad Amirul Azrey Azizan diangkat sebagai Penjaga Gol Terbaik SCC 2026 atas ketangkasannya mengawal gawang sepanjang kejohanan. Tempat ke tiga kejohanan dimenangi oleh Pusat Pengajian Pengurusan FC (SOM FC).
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapannya menegaskan bahawa penganjuran SCC merupakan manifestasi komitmen universiti dalam melahirkan mahasiswa yang bersifat holistik.
“Sukan bukan sekadar tentang skor atau pingat; ia adalah makmal kepimpinan di luar dewan kuliah. Melalui SCC, anda telah membuktikan bahawa mahasiswa USM ialah individu yang dinamik dan berdaya saing,” ujar beliau.
Sementara itu, Pengarah Projek merangkap Ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM bagi portfolio Sukan dan Rekreasi, Saudara Muhammad Zulkarnain Johor menyifatkan kejohanan ini sebagai platform penting dalam membina keseimbangan antara akademik dan kokurikulum.
"Apa yang kita bina di sini bukan sekadar sebuah kejohanan, tetapi satu pengalaman dan pelajaran yang membentuk jati diri mahasiswa yang seimbang," katanya.
Kejohanan SCC 2026 dengan penglibatan PERDAMA sebagai rakan strategik berlangsung dari 7-24 April 2026 di Padang KOPA itu menyaksikan penyertaan 11 pasukan yang mewakili pelbagai pusat pengajian dengan jumlah keseluruhan 29 perlawanan.
Suasana perlawanan akhir turut dimeriahkan dengan kehadiran barisan kepimpinan dan pegawai universiti termasuk Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni (BHEPA), Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya; Pendaftar USM, Encik Mohd Azizudin Mohd Shariff; Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa (MPD), Dr. Abdul Rais Abdul Latif; serta Yang Dipertua MPP USM, Saudara Azfar Al-Hafiz Azman.
Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA