Skip to main content

SIRI HOPE : SOLIDARITI WARGA USM NYALAKAN SINAR HARAPAN BUAT PEJUANG KANSER

USM PULAU PINANG, 21 April 2026 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini diselubungi aura luar biasa menerusi penganjuran “Radiance of Hope”, sebuah inisiatif di bawah Siri HOPE oleh Sekretariat Sukarelawan India (SSI) USM bagi meningkatkan kesedaran kanser dalam kalangan warga kampus dan komuniti.

Program yang berlangsung di Dewan Utama Pelajar pada 15 April 2026 itu diterajui oleh tiga pelajar jurusan Fizik Perubatan iaitu Haresh Reddy, Joshua Inban, dan Pravin Manikam.

Dengan matlamat menterjemah simpati kepada aksi, mereka berjaya menyatukan para peserta untuk saling berkongsi harapan dan kekuatan melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi.

Antara pengisian utama program adalah penghasilan tanglung DIY oleh pelajar USM yang menjadi simbol cahaya solidariti buat pejuang kanser. Selain itu, pameran Wall of Hope yang memaparkan hasil seni murni kanak-kanak pesakit kanser dari Hospital Pulau Pinang turut mencuri tumpuan. Warna-warni lukisan tersebut bukan sahaja menyentuh sanubari, malah menjadi simbol ketabahan luar biasa mereka dalam menghadapi cabaran hidup.
Dihadiri oleh Prof. Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA, program ini turut diperkukuhkan dengan sesi perkongsian daripada Dr. Jaishree Sharmini, Pakar Perunding Perubatan Paliatif dari Mount Miriam Cancer Hospital.

Jaishree menekankan peri pentingnya penjagaan paliatif yang menjaga maruah, keselesaan, dan kualiti hidup pesakit serta keluarga. Kejayaan ini turut didorong oleh sinergi padu rakan kolaborasi termasuk Mount Miriam Cancer Hospital, Hospice Penang Society, dan National Cancer Society Malaysia (NCSM).Untuk rekod, Siri HOPE diinspirasikan daripada legasi mendiang Chelsea Cindion Dominic, bekas EXCO SSI USM. Walaupun beliau telah pergi akibat kanser, semangat juang dan khidmat baktinya diteruskan melalui program ini sebagai medium untuk memberi impak positif kepada masyarakat.

"Radiance of Hope" membuktikan bahawa apabila empati bersatu dengan tindakan, kegelapan cabaran kanser mampu disinari oleh cahaya harapan yang terang benderang, sekali gus mengubah sebuah program menjadi satu gerakan jiwa yang bermakna.

Teks/foto : Sekretariat Sukarelawan India
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA