Skip to main content

Sinergi PTPTN–UDA Holdings Berhad Beri Sinar Kepada Pelajar Asnaf

Oleh : Siti Ruhaida Mohd Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM KAMPUS KEJURUTERAAN, 18 Mei 2026 – Keprihatinan terhadap kebajikan mahasiswa terus diperkukuh menerusi Program Sinar Kasih UDA Cares-PTPTN (SAKURA), hasil kerjasama strategik antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan UDA Holdings Berhad.

Berlangsung di Dewan Auditorium, Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, program ini menyaksikan seramai 100 pelajar asnaf USM menerima manfaat daripada sumbangan wakalah zakat yang merupakan sebahagian daripada dana sebanyak RM240,000 yang disalurkan kepada 1,200 pelajar asnaf merangkumi, politeknik dan kolej komuniti seluruh negara.

Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan PTPTN dan UDA Holdings Berhad dalam menyalurkan sumbangan wakalah zakat UDA kepada pelajar IPT melalui Simpan SSPN Prime.

 “Inisiatif ini bukan sahaja memberi impak dari sudut kewangan, malah turut mendidik generasi muda mengenai kepentingan perancangan kewangan dan amalan menabung sejak usia muda sebagai persediaan menghadapi cabaran masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim selaku Pengerusi PTPTN berharap agar sumbangan yang diberikan mampu mengurangkan beban mahasiswa sekali gus meningkatkan semangat mereka untuk terus fokus terhadap pembelajaran.

“Penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada UDA Holdings Berhad atas komitmen berterusan dalam menjayakan program ini yang sekali gus mencerminkan sinergi kukuh antara PTPTN dan UDA Holdings Berhad dalam memperluas budaya prihatin serta amalan menabung dalam kalangan masyarakat.”

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan UDA Holdings Berhad, Encik Farizal Zainudin berkata, program ini membuktikan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam memperkukuh akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif, lestari dan menyeluruh, khususnya buat golongan yang memerlukan agar mereka terus berpeluang membina masa depan yang lebih cemerlang.

Majlis turut disempurnakan dengan kehadiran Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi, Dr. Shamsuri Abdullah, Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid serta Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin USM, Prof. Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha.

Inisiatif ini diharap terus memperkasa agenda pendidikan inklusif dalam melahirkan generasi yang lebih berdaya tahan, celik kewangan dan berdaya saing.