Skip to main content

SINERGI KEPELBAGAIAN : HARI KEBUDAYAAN PAMERKAN IDENTITI NASIONAL PELAJAR ANTARABANGSA DI KAMPUS USM

USM PULAU PINANG, 13 Mei 2026 :- Dataran Merah, Universiti Sains Malaysia hari ini bertukar menjadi wadah integrasi budaya global menerusi penganjuran Coffee Hour Day yang menghimpunkan pelajar antarabangsa daripada 12 buah negara.

Program anjuran Pejabat Antarabangsa USM itu bertujuan memperkukuh keharmonian antara pelajar tempatan dan luar negara menerusi perkongsian warisan, sekali gus memupuk semangat inklusiviti dalam ekosistem kampus.

Pengarah projek, Saudari Ooi Yin You, pelajar Tahun 2 Pusat Pengajian Seni berkata, sebanyak 12 gerai pameran dibuka bagi mempamerkan identiti nasional masing-masing menerusi demonstrasi makanan tradisional dan permainan rakyat.

Antara negara yang mengambil bahagian termasuklah wakil dari Eropah seperti Perancis, Belanda, dan Belgium, selain negara jiran Indonesia, serta penyertaan dari China, Iraq, dan Yaman.

“Berbeza dengan pameran statik, Coffee Hour Day kali ini menekankan konsep pengalaman interaktif (hands-on). Pelajar tempatan berpeluang merasai sendiri keunikan budaya asing, manakala pelajar antarabangsa bertindak sebagai "duta kecil" dalam menjelaskan falsafah di sebalik warisan mereka,” ujarnya lagi.

Bersesuaian dengan Hab Pelancongan Pendidikan Global – MyEdutourism (Inisiatif 7B.2), program ini dilihat dapat memperluas perkongsian akademik dan mobiliti strategik dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan pendidikan global melalui penyediaan pengalaman pembelajaran berstruktur yang menggabungkan elemen akademik, budaya, komuniti dan industri.

Penglibatan aktif komuniti antarabangsa ini bukan sahaja mempromosikan budaya luar, malah berfungsi sebagai platform pertukaran dua hala. Sambil memperkenalkan warisan tanah air sendiri, pelajar luar negara turut berpeluang mendalami keunikan adat resam Malaysia melalui interaksi langsung dengan pelajar tempatan.

Inisiatif ini membuktikan bahawa perbezaan geografi bukanlah penghalang kepada perpaduan. Melalui aktiviti seumpama ini, USM berjaya memperkasakan peranannya sebagai universiti global yang menyediakan ruang strategik bagi mempromosikan keharmonian sejagat.

Kejayaan program ini memperlihatkan keberkesanan diplomasi budaya dalam kalangan mahasiswa, sekali gus membuktikan bahawa di sebalik perbezaan adat, nilai kemanusiaan dan persefahaman tetap menjadi teras penyatuan di peringkat universiti.

Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA