![]()
SINERGI AI & KOLABORASI GLOBAL : 2,500 PELAJAR DAN AHLI AKADEMIK BANJIRI FORUM PENDIDIKAN TINGGI MALAYSIA–TÜRKIYE DI USM
USM PULAU PINANG, 29 April 2026 – Dewan Tuanku Syed Putra, Universiti Sains Malaysia hari ini menjadi tumpuan apabila lebih 2,500 pelajar dan ahli akademik berkumpul bagi menjayakan program Malaysia-The Republic of Türkiye Higher Education Forum 2026.
Membawa tema "Charting the Future of Higher Education in the Era of AI" anjuran Education Malaysia Global Services (EGMS) dan USM ini mengupas dua agenda utama iaitu Inovasi Kecerdasan Buatan (AI) dan Pengukuhan Kolaborasi Global dalam mendepani cabaran pendidikan alaf baharu.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, dalam ucapannya menegaskan bahawa komitmen kerajaan amat jitu dalam menjadikan pendidikan sebagai nadi utama pembangunan negara. Beliau menekankan bahawa adaptasi teknologi AI bukan lagi pilihan, malahan pemangkin inovasi yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan.
Sinergi antara Malaysia dan Republik Türkiye ini dilihat sebagai langkah strategik untuk memperkukuh jaringan akademik antarabangsa, sekali gus melahirkan graduan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah berdaya saing di peringkat global.
Sesi forum utama yang dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk, Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar USM berlangsung dengan kupasan meluas mengenai integrasi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan daya tahan institusi.
Barisan panelis terkemuka yang dibarisi oleh YBhg. Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, Ketua Pengarah JPT, Profesor Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin, Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan, UTM, Necmeddin Bilal Erdoğan, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Ibn Haldun University, Türkiye dan Profesor Dr. Ahmet Yozgatlıgil, Rektor Middle East Technical University, Türkiye.
Di sebalik kemeriahan wacana ilmu, aspek kebajikan pelajar tetap menjadi keutamaan. Sebelum sesi petang bermula, Dr. Zambry Abd Kadir bersama kepimpinan tertinggi JPT dan USM telah meluangkan masa menyantuni pelajar USM, Saudari Sitti Farhana yang diuji musibah kebakaran rumahnya di Sandakan baru-baru ini.
Melalui sumbangan daripada Yayasan Perkasa Siswa, bantuan tersebut diserahkan sebagai tanda sokongan moral dan kebajikan buat pelajar berkenaan. Turut hadir dalam sesi tersebut ialah Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar Jabatan Pendidikan Tinggi, Encik Hirman Awang @ Semail; Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya dan Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA.
Program turut dimeriahkan dengan lawatan ke reruai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan industri. Pameran ini menjadi platform buat akademia dan pemain industri mempamerkan produk terkini, sekali gus membuka ruang kerjasama strategik yang lebih luas bagi memperkasakan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Teks/foto : Unit Media dan Penerbitan BHEPA