![]()
![]()
![]()
'SHARE THE WARMTH' : MAHASISWA PERUBATAN USM-KLE IMP SANTUNI KOMUNITI HUDLI VILLAGE, INDIA
USM-KLE, BELGAUM, INDIA, 10 Mei 2026 :- Seramai 71 mahasiswa perubatan daripada USM-KLE International Medical Programme (IMP) telah menterjemahkan ilmu bilik kuliah ke lapangan melalui program kesukarelawanan 'Share The Warmth' yang berlangsung di Hudli Village, India, pada 3 Mei 2026 baru-baru ini.
Program anjuran Exco Kesihatan dan Exco Kebajikan, Medical Society USM-KLE IMP dan dibimbing oleh Profesor Madya Dr. Nik Ahmad Zuky Nik Lah, Timbalan Dekan USM-KLE ini melibatkan penyertaan aktif pelajar daripada fasa pra-klinikal dan klinikal. Ia bertujuan memberikan manfaat menyeluruh kepada komuniti setempat melalui inisiatif kesihatan, kebajikan, dan aktiviti sosial.
Saudara Nuraiman Iskandar, Tahun 2 pelajar perubatan selaku pengarah projek dan dibantu oleh Muhammad Faizi Muhamad Rizal, Tahun 1 berkata, sebagai pendedahan awal kepada realiti dunia perubatan, para pelajar telah mengendalikan pemeriksaan kesihatan percuma yang merangkumi pengukuran Indeks Jisim Tubuh (BMI), tekanan darah, dan saringan paras gula dalam darah.
Lebih bermakna, mahasiswa fasa klinikal berpeluang memerhati dan membantu sesi konsultasi yang dikendalikan oleh barisan doktor berpengalaman iaitu Doktor Fareeda, Doktor Imran, dan Doktor Nabeel. Selain khidmat nasihat, preskripsi ubat turut diberikan kepada penduduk yang memerlukan.
Inisiatif ini bukan sahaja selari dengan SDG 3 : Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, malah berfungsi sebagai platform latihan penting bagi bakal doktor untuk mengasah kemahiran komunikasi doktor-pesakit serta kemahiran diagnostik dalam persekitaran sumber terhad.
Menyedari bahawa kesihatan komuniti turut dipengaruhi oleh faktor sosioekonomi, program ini turut mengagihkan pek makanan asas (beras, gula, dan tepung) serta pakaian hasil sumbangan warga pelajar USM-KLE sendiri. Langkah ini merupakan sokongan langsung kepada agenda SDG 2 : Kelaparan Sifar.
Keseimbangan emosi kanak-kanak di kampung tersebut turut diberi perhatian melalui aktiviti interaktif seperti pertandingan melukis, permainan kerusi muzik dan permainan aliran air (water cup relay) menggunakan belon.
Aktiviti yang selari dengan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) ini melatih para pelajar dalam aspek kepimpinan dan pengurusan tingkah laku kanak-kanak, suatu elemen kritikal dalam bidang pediatrik dan perubatan komuniti.
Sepanjang program, semangat kesukarelawanan yang kental jelas terpancar melalui interaksi antara mahasiswa dan penduduk setempat yang dilihat sebagai 'makmal manusia' yang terbaik untuk membentuk jati diri, empati, dan nilai etika profesional sebelum para pelajar ini melangkah ke alam kerjaya doktor yang sebenar.
Teks/foto : Pengerusi Program Share The Warmth
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA