SEMPANA USM Cipta Hatrik Juara Sayembara Pantun Mestika Embun
Oleh : Ainul Huda, Persatuan SEMPANA USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 20 Mei 2026 – Pasukan SEMPANA Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya merangkul gelaran Johan dalam Sayembara Pantun Piala Mestika Embun X Pesantun JKKN 2026.
Mengangkat tema “Mestika: Nostalgia P. Ramlee”, pertandingan yang menghimpunkan 12 pasukan dari institusi pengajian tinggi seluruh negara itu menjadi pentas persaingan sengit dalam mempersembahkan keindahan seni pantun Melayu sepanjang program berlangsung pada 15 hingga 17 Mei 2026.
Pasukan SEMPANA USM diwakili oleh Muhammad Syawwal Radzi dari Pusat Pengajian Sains Fizik (Tahun 2), Asmah Nurhanis Rohaizi dari Pusat Pengajian Pengurusan (Tahun 3), Muhammad Aiman Farhan Zaidi dari Pusat Pengajian Teknologi Industri (Tahun 3) serta Tan Jun Sheng dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (Tahun 1).
Pasukan ini turut dibimbing oleh Encik Murshid Md Hussin bersama Encik Muhamad Shamsuri Hashim selaku penasihat luar, selain mendapat sokongan barisan jurulatih terdiri daripada Puan Syuhaira Afiah, Encik Amirul Zikri dan Cik Syahirah.
Sepanjang pertandingan berlangsung, pasukan SEMPANA USM berjaya menampilkan persembahan yang konsisten menerusi pelbagai pusingan bertemakan sejarah Negeri Perak, Antara Dua Darjat serta sektor kejuruteraan dan teknologi, sekali gus membawa mereka mara ke pentas akhir menentang pasukan RENTAKA dari UiTM.
Pertembungan akhir tersebut turut mengimbau kembali persaingan dua edisi terdahulu pada tahun 2024 dan 2025 yang menyaksikan SEMPANA USM muncul sebagai juara.
Kemenangan pada edisi kali ini sekali gus melakar sejarah tersendiri apabila SEMPANA USM berjaya mencipta hatrik kejuaraan sejak pertandingan tersebut diperkenalkan.
Lebih membanggakan apabila Muhammad Syawwal Radzi dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik Peringkat Akhir.
Selain berjaya meraih Tempat Ketiga Pemantun Terbaik Keseluruhan, pencapaian ini jelas membuktikan keupayaan serta konsistensi SEMPANA USM dalam memartabatkan seni warisan pantun di peringkat kebangsaan.