SASTERA DAN INTELEKTUAL BERSATU DI MAJLIS PENUTUP SAYEMBARA WARISAN PANTUN & DEBAT PIALA NAIB CANSELOR USM 2026
USM PULAU PINANG, 26 April 2026 – Gema pantun yang puitis dan hujah yang bernas bersatu dalam satu pentas penuh gilang-gemilang di Dewan Utama Desasiswa malam tadi, menandakan berakhirnya Sayembara Warisan Pantun serta Debat Piala Naib Canselor (DPNC) 2026.
Melalui dua wahana ini, Universiti Sains Malaysia terus mengorak langkah berani dalam membentuk graduan syumul yang mampu mengimbangi tuntutan kemodenan tanpa membelakangkan akar tradisi
Kemuncak debaran DPNC 2026 menyaksikan Desasiswa Restu muncul sebagai johan selepas mempamerkan hujah yang cukup tajam dan tenang. Kemenangan tersebut diraih selepas menumpaskan saingan sengit daripada Desasiswa Aman Damai yang menduduki tempat sebagai naib johan.
Kedua-dua pasukan akhir ini membuktikan kematangan intelektual yang tinggi semasa membahaskan tema alam sekitar yang cukup relevan, iaitu "Polisi Plastik Sekali Guna Ibarat Telunjuk Lurus Kelingking Berkait".
Sementara itu, dalam saingan Sayembara Warisan Pantun 2026, Desasiswa Aman Damai bangkit menebus kekecewaan apabila dinobatkan sebagai johan manakala naib johan dimenangi oleh pasukan Laleng Rahayu dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan Desasiswa Murni Nurani berjaya merangkul tempat ketiga.
DPNC 2026 menghimpunkan 10 pasukan daripada 9 wakil desasiswa serta 1 pasukan swing manakala Sayembara Warisan Pantun menarik penyertaan sebanyak 12 pasukan, termasuk dua wakil daripada IPTA dan satu pasukan swing dari Institut Pendidikan Guru (IPG).
Kepelbagaian penyertaan ini jelas menunjukkan bahawa debat dan seni pantun tradisional masih mempunyai tempat yang istimewa di hati para pelajar meskipun di tengah arus modenisasi.
Majlis diserikan dengan kehadiran barisan kepimpinan universiti dan tetamu kehormat iaitu Prof. Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed, Naib Canselor USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor BHEPA, Dr. Abdul Rais Abdul Latiff, Pengerusi Majlis Penggawa Desasiswa, barisan Penggawa Desasiswa, kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Penghuni Desasiswa, serta pegawai-pegawai BHEPA.
Penganjuran kedua-dua program ini bertujuan untuk melahirkan graduan yang seimbang. Jika pantun menekankan kreativiti dan kehalusan bahasa, debat pula berfungsi sebagai medan wacana intelektual yang menguji keupayaan berfikir secara kritis di hadapan khalayak.
Kejayaan penganjuran ini merupakan hasil kerja keras jawatankuasa pelaksana yang diterajui oleh dua pengarah projek yang komited, iaitu Cik Nur Syafiqah Nurul Aswat (Sayembara Warisan Pantun) dan Cik Nur Syamimi Alya Mohd Zahidi (DPNC 2026).
Senarai pemenang :
ANUGERAH KHAS KATEGORI INDIVIDU :
1. Pemantun Terbaik Peringkat Akhir - Daniel Tan Jun Sheng (pasukan Desasiswa Aman Damai)
2. Pemantun Terbaik Keseluruhan - Muhammad Syawal Radzi (pasukan Desasiswa Aman Damai)
ANUGERAH KHAS KATEGORI KUMPULAN :
1. Pembukaan Terbaik - pasukan Adyakala Budi (UIAM)
2. Busana Terbaik - pasukan Desasiswa Bati Fajar Permai
PENDEBAT ETNIK KE-2 TERBAIK DPNC 2025/2026
Wong Yea Hen - Desasiswa RESTU