Skip to main content

RAMADAN BERSAMA KOMUNITI: SEMANGAT SUKARELAWAN MAHASISWA USM TERUS DIPERKUKUH

USM, PULAU PINANG, 20 Februari 2026 – Ketibaan Ramadan sentiasa dinanti sebagai bulan penuh keberkatan yang menanam nilai ihsan, perpaduan, dan kepedulian terhadap sesama insan. Semangat ini jelas terserlah melalui penglibatan aktif mahasiswa Universiti Sains Malaysia dalam pelbagai inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada seluruh komuniti kampus.

Bersempena Ramadan, seramai 10 sukarelawan pelajar USM, dibantu oleh pelajar ‘International Mobility and Collaboration Centre’ serta mahasiswa Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), berganding bahu menyediakan dan mengagihkan juadah berbuka puasa kepada kira-kira 1,500 warga kampus di Masjid Al-Malik Khalid USM.

Aktiviti ini dijalankan secara bergilir-gilir sepanjang bulan Ramadan, sambil memupuk semangat kebersamaan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan warga universiti.

Program ini dianjurkan oleh Pusat Islam USM, dengan kerjasama Sektor Latihan, Kepimpinan & Kesukarelawanan, Pusat Pembangunan Pelajar, dan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, diketuai oleh Cik Nur Anis Atikah Almizan. Sokongan daripada Sekretariat Sukarelawan USM (SUKASS) memainkan peranan penting dalam menyelaras dan menggerakkan penglibatan para sukarelawan.

Inisiatif ini bukan sahaja memupuk nilai kesukarelawanan dan semangat gotong-royong, malah secara tidak langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan SDG 2: Kelaparan Sifar dengan perkongsian rezeki serta meringankan beban golongan yang memerlukan.

Komitmen dan keikhlasan para sukarelawan, termasuk mahasiswa pascasiswazah, mencerminkan aspirasi USM dalam melahirkan graduan berjiwa masyarakat prihatin, berdedikasi, dan sentiasa bersedia menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Teks/foto: Nur Anis Atikah Almizan,

Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA

Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA