![]()
Project Young Minds 2.0 Perkasa Pelajar Sekolah Melalui STEM Dan TVET
Oleh : Sekretariat Sukarelawan India
USM, PULAU PINANG, 18 Mei 2026 – Sekretariat Sukarelawan India Universiti Sains Malaysia (SSI USM) dengan kerjasama GIATMARA Bukit Gelugor telah menganjurkan Program Project Young Minds 2.0 bagi mendedahkan generasi muda kepada bidang STEM dan TVET, di sini baru-baru ini.
Program yang berlangsung di Dewan Utama Pelajar (DUP A), USM pada 12 Mei lalu itu diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pendidikan berasaskan kemahiran, sekali gus melahirkan modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi.
Sebanyak 80 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamid Khan dan SMK Raja Tun Uda telah menyertai program berkenaan. Jumlah tersebut turut merangkumi lima pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dari SMK Hamid Khan.
Selain aktiviti interaktif, program ini turut menyediakan reruai pameran pendidikan serta latihan kemahiran bagi membuka ruang kerjaya masa depan kepada para peserta.
Mengulas mengenai pengisian program, penganjur mengetengahkan pendekatan aktiviti berstesen (station-based activities) berteraskan STEM dan TVET.
Setiap aktiviti dirangka secara strategik bagi merangsang penglibatan aktif pelajar di samping memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, kepimpinan, kerja berpasukan dan pemikiran kritis.
Melalui kaedah ini, peserta didedahkan kepada kepentingan sains, teknologi dan latihan kemahiran sebagai asas pembangunan kerjaya, selaras dengan aspirasi negara yang menekankan pembangunan modal insan holistik seperti yang digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia.
Sementara itu, Pengarah Projek, Jivapriya Makendran berkata, program tersebut berjaya menyediakan platform terbaik kepada pelajar untuk membina keyakinan diri serta mengasah kemahiran kepimpinan melalui penyelesaian masalah secara berkumpulan.
"Penganjuran Project Young Minds 2.0 membuktikan komitmen berterusan SSI USM dalam memperkasakan pembangunan pendidikan komuniti menerusi pendekatan pembelajaran yang inklusif, interaktif dan berorientasikan masa depan," katanya.
Program ini dikendalikan oleh barisan Majlis Tertinggi Project Young Minds di bawah SSI USM dengan pemantauan Yang Dipertua, Hisanraj Pasgaran, bersama-sama 70 ahli jawatankuasa yang memastikan kelancaran sepanjang acara berlangsung.
Inisiatif ini bukan sahaja berjaya menyemai minat pelajar terhadap STEM dan TVET, malah menjadi pencetus utama dalam membentuk generasi muda yang berfikiran kritis serta bersedia mendepani cabaran masa hadapan.