![]()
![]()
Program Jalinan Kasih USM-UUM Gilap Kecekapan Insaniah Mahasiswa
Oleh : Perkumpulan Mahasiswa/I Anak Terengganu (PERMATA) USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
MARANG, 24 Mei 2026 – Penduduk setempat gembira apabila menerima impak positif dari mahasiswa Perkumpulan Mahasiswa/I Anak Terengganu (PERMATA) Universiti Sains Malaysia dan Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui penganjuran Program Jalinan Kasih yang berlangsung selama tiga hari di Kampung Jambu Bongkok Pantai.
Program berkonsepkan baktisiswa ini bukan sahaja berjaya memperkukuh semangat kesukarelawanan dan hubungan erat antara mahasiswa dan masyarakat, malah menjadi platform penting dalam menyemai nilai kepimpinan serta kerja berpasukan.
Kolaborasi strategik antara dua buah universiti awam ini turut menterjemahkan komitmen sektor pendidikan tinggi dalam melahirkan mahasiswa yang holistik dan berjiwa masyarakat.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah dijalankan bersama penduduk kampung termasuk gotong-royong, aktiviti pukat tarik, sukan rakyat, masakan berkelompok, dan program santai kekeluargaan.
Selain itu, aspek kelestarian alam turut diberi penekanan melalui aktiviti penanaman pokok kelapa, yang secara tidak langsung menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 13: Tindakan Terhadap Iklim) dan SDG 15: Kehidupan di Darat bagi memelihara ekosistem pesisiran pantai.
Inisiatif ini juga sejajar dengan agenda pemerkasaan mahasiswa yang ditekankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), melalui penglibatan aktif dalam mengemudi aktiviti komuniti.
Para peserta diberikan autonomi dan ruang untuk mengasah kecekapan insaniah (soft skills) seperti komunikasi berkesan, penyelesaian masalah, dan nilai empati yang menjadi elemen penting dalam pembentukan karakter pemimpin masa hadapan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Ustaz Sulaiman Sulong, yang juga merangkap Ayah Angkat PERMATA UUM, menyatakan bahawa program komuniti seumpama ini mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan berasaskan komuniti (community-based tourism) di Terengganu.
"Saya amat berharap agar program berbentuk komuniti dan baktisiswa seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Inisiatif seumpama ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat setempat, malah berupaya melahirkan mahasiswa yang lebih cakna, berdaya saing, dan memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi dalam mendepani cabaran masyarakat masa kini.
Langkah ini secara langsung bertindak sebagai pemangkin dalam melahirkan generasi muda yang seimbang yakni bijak di dewan kuliah dan prihatin di lapangan masyarakat sekali gus membawa impak positif yang berpanjangan kepada kemajuan negara.