Skip to main content

PPIK dan MPP USM Gempur SMK Kapit No.2, Formula Selangkah Ke Universiti Jadi Keutamaan

Oleh : Muhammad Firdaus Abdullah,
MPP Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Eksekutif Akademik, Dasar dan Inovasi
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

KAPIT, SARAWAK, 20 Mei 2026 – Universiti Sains Malaysia menerusi Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan (PPIK) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar pusat pengajian telah menganjurkan Program USM Goes To School: STPM Empowerment Camp di SMK Kapit No.2 yang berlangsung selama dua hari.

Dalam merancang hala tuju pendidikan tinggi mereka melalui perkongsian ilmu, teknik akademik, dan suntikan motivasi khusus buat pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), program ini telah melibatkan penyertaan seramai 10 pelajar sekretariat serta 2 pensyarah USM.

Program ini telah dirasmikan oleh Dr. Muhammad Naim Fakhirin Rezani selaku wakil Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM dan turut dihadiri oleh Puan Maria Anak Ugak, wakil Penolong Kanan Tingkatan 6 SMK Kapit No.2.

Sesi akademik dikendalikan oleh pensyarah dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Dr. Abdul Rahman Md Ali, yang bertindak memberi taklimat dan pengisian subjek.

Mahasiswa USM turut mengambil peluang memberikan slot motivasi, tip pengurusan masa yang berkesan, perkongsian realiti kehidupan di kampus serta bertindak sebagai mentor bagi membimbing pelajar melalui sesi latihan intensif, perbincangan berkumpulan dan perkongsian pengalaman pembelajaran.

Para peserta juga diberi pendedahan meluas mengenai peluang melanjutkan pengajian ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) serta panduan pemilihan bidang akademik yang bersesuaian dengan minat serta hala tuju kerjaya masa depan mereka.

"Penganjuran program seperti ini membuktikan komitmen jitu mahasiswa USM dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan dan komuniti, sekali gus selaras dengan usaha melahirkan generasi muda yang berilmu, berdaya saing, dan berwawasan," menurut kenyataan Widad Ruhi Mohd Zamri selaku Pengarah Projek USM Goes To School.

Kehadiran barisan akademik dan sekretariat ini diharapkan dapat memberi impak positif yang berterusan kepada pelajar STPM di SMK Kapit No.2, khususnya dalam meningkatkan kecemerlangan akademik dan persediaan mental sebelum melangkah ke alam universiti.