Skip to main content
Sesi fotografi Mahasiswa Pertubuhan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) USM bersama pihak penganjur 

Pesta Kaamatan Pulau Pinang 2026 Semarakkan Warisan dan Perpaduan Mahasiswa Sabah

USM, PULAU PINANG, 13 Mei 2026 – Semangat perpaduan dan kekayaan warisan budaya Sabah terus diperkasakan menerusi penganjuran Perayaan Pesta Kaamatan Pulau Pinang 2026 yang berlangsung meriah di Convention 33, Prangin Mall, Georgetown baru-baru ini.

Anjuran oleh Kadazandusun Cultural Association Penang (KDCA) Penang dengan kerjasama Pertubuhan Siswa Siswi Sabah (PERSIS) Universiti Sains Malaysia, program ini telah berjaya menghimpunkan kira-kira 600 orang.

Penganjuran program ini menjadi platform penting dalam memperkenalkan serta memartabatkan budaya masyarakat Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) kepada masyarakat pelbagai kaum di Pulau Pinang, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan komuniti setempat.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Huguan Siou Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Datuk Kitingan, Presiden KDCA, Datuk Wong Hon Wai selaku EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Dato’ H’ng Ban Choon sebagai Ketua Pegawai Eksekutif COSMIC, serta jemputan tetamu kenamaan lain .

Pengerusi PKKD Pulau Pinang merangkap Pengarah Program, Puan Sheren Sherrneys berkata, program berkenaan bukan sahaja bertujuan meraikan Pesta Kaamatan, malah menjadi medium memperkukuh hubungan silaturahim dan integrasi nasional dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat setempat.

"Program ini menjadi wadah penting dalam memperkenalkan keunikan budaya masyarakat KDMR kepada penduduk di Semenanjung, khususnya di Pulau Pinang, di samping menyatukan pelbagai lapisan masyarakat melalui semangat kebersamaan, toleransi dan keharmonian’ ujarnya.

Selain mengetengahkan keunikan kebudayaan tradisional Sabah menerusi persembahan seni, pakaian etnik dan pelbagai pengisian komuniti, program ini turut mendukung aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan pembangunan mahasiswa holistik, kompetensi rentas budaya serta penglibatan bermakna bersama masyarakat dalam memperkukuh nilai perpaduan dan keterangkuman.

Penganjuran sambutan ini juga selari dengan SDG 16 melalui pemerkasaan semangat keharmonian, toleransi dan integrasi nasional antara mahasiswa Sabah bersama komuniti setempat di Pulau Mutiara dalam suasana masyarakat majmuk yang harmoni.

Melalui semangat kebersamaan yang dipamerkan sepanjang program berlangsung, sambutan Pesta Kaamatan ini bukan sahaja berjaya mengangkat identiti budaya Sabah, malah menjadi simbol keharmonian masyarakat berbilang kaum yang terus subur dalam landskap pendidikan tinggi negara.

Teks/foto: Persatuan Anak Sabah
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA