Skip to main content
Komponen Generik MyCSD : Khidmat Masyarakat

PERKIM Pusat Jagaan Warga Emas Intan 11062026 3

PERKIM Pusat Jagaan Warga Emas Intan 11062026 4

PERKIM Pusat Jagaan Warga Emas Intan 11062026 1

Mahasiswa PERKIM USM Semai Empati dan Keprihatinan Sosial Bersama Warga Emas

Oleh : Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM, PULAU PINANG, 11 Jun 2026 – Komitmen dalam memperkasa budaya kesukarelawanan dan khidmat komuniti dalam kalangan mahasiswa terus diperkukuh apabila Sekretariat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Universiti Sains Malaysia menganjurkan program Jalinan Kasih: Santuni Warga Emas Bersama PERKIM di Pusat Jagaan Warga Emas Intan, George Town, Pulau Pinang.

Dipimpin oleh Mohamad Ainq Aqil Jaimal, program ini mencerminkan komitmen mahasiswa dalam memperkukuh nilai kemanusiaan dan keprihatinan sosial menerusi usaha menyantuni golongan warga emas, sekali gus mengeratkan hubungan antara universiti dan komuniti setempat melalui interaksi yang bermakna, inklusif dan berimpak positif.

Menurut wakil Pusat Jagaan Warga Emas Intan, yang dikenali sebagai Nurse Shanti katanya, kehadiran mahasiswa bukan sahaja menceriakan suasana, malah menjadi sumber sokongan moral yang mampu meningkatkan semangat dan kesejahteraan emosi warga emas melalui interaksi yang mesra, tulus dan bermakna.
Kehadiran 10 orang ahli sekretariat PERKIM USM dalam menyantuni 20 orang warga emas ini bukan sekadar aktiviti khidmat komuniti, malah menjadi wahana penting yang mendekatkan mahasiswa dengan realiti kehidupan serta menyuburkan rasa empati yang mendalam.

Melalui pengisian interaktif seperti sesi senamrobik, gotong-royong, dan sembang santai, para mahasiswa berpeluang merasai sendiri denyut nadi kehidupan warga emas, sekali gus mengajar mereka untuk lebih menghargai, menyayangi, dan menghayati nilai kemanusiaan.

Penganjuran program ini diharapkan dapat diteruskan sebagai wadah memperkukuh budaya kesukarelawanan dan khidmat masyarakat dalam kalangan mahasiswa, sekali gus mendukung aspirasi Student for Society (S4S) melalui teras Khidmat Sosial dalam melahirkan graduan yang berjiwa masyarakat, berempati, cakna terhadap isu komuniti serta mampu menyumbang secara bermakna kepada kesejahteraan sosial negara.