Skip to main content
Kebajikan

Penyerahan Laptop Sumbangan MITRA Gembirakan Mahasiswa India Kampus Kesihatan USM

Oleh : Unit Media dan Penerbitan BHEPA, Kampus Kesihatan
USM Kubang Kerian, 14 Julai 2026 – Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) Kampus Kesihatan telah menerima sumbangan komputer riba sebanyak 25 unit daripada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

Majlis penyerahan disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato' Dr. Shaiful Bahari Ismail, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan dan diiringi oleh Yang Menjalankan Tugas Ketua Jabatan BHEPA Kampus Kesihatan, Encik Khairul Ithma Bin Mahdi bertempat di Dewan Persidangan Kampus.

Sumbangan ini bertujuan untuk diagihkan khusus kepada mahasiswa India daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dari Kampus Kesihatan USM yang berkelayakan.

Inisiatif ini diharap dapat menyokong keperluan teknologi digital, sekali gus memastikan kelancaran urusan akademik sepanjang tempoh pengajian.

Pihak universiti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada MITRA atas sumbangan berharga ini. Keprihatinan murni ini membuktikan komitmen tinggi dalam menjaga kebajikan mahasiswa serta memperkasa agenda pemerkasaan pendidikan digital buat golongan sasar.