Skip to main content

G4

PENTAS CENDEKIA : MEDAN KERAMAT MENGGILAP PERMATA DEBAT MASA DEPAN

USM PULAU PINANG, 15 April 2026 – Persatuan Pelajar Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM sekali lagi membuktikan komitmennya melalui penganjuran “Pentas Cendekia”, sebuah program pertandingan bagi mencungkil dan mengasah bakat kepimpinan serta seni hujah dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Menyedari bahawa pembudayaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) perlu dipupuk sejak awal, "Pentas Cendekia" menjadi platform utama untuk mengenal pasti potensi luar biasa yang terpendam dalam diri remaja sebelum mereka melangkah ke alam universiti.

Program yang berlangsung penuh prestij di Dewan Pembangunan Siswa 2 (DPS 2) ini bermula seawal jam 8:30 pagi pada 11 April lalu, dihangatkan dengan kehadiran 30 orang anak muda yang mewakili enam buah sekolah terpilih di sekitar Pulau Pinang iaitu SMK Sungai Ara, KTE Desa Murni, SMK Seri Balik Pulau, SMK Tun Syed Sheh Barakah, SMK Tunku Abdul Rahman, SMK Seberang Jaya.

Di bawah pimpinan Saudari Noor Huda Fatini Zainal, program ini memberi tumpuan khusus untuk memastikan pelajar sekolah menengah tidak hanya mahir dalam akademik, tetapi juga tangkas dalam menyusun strategi pemikiran kritis.

Berbeza dengan format konvensional, "Pentas Cendekia" memilih pendekatan unik dengan membenarkan semua peserta terus bersaing dalam pusingan perdebatan tanpa melalui ujian saringan awal. Strategi ini bertujuan untuk memberi pendedahan maksimum kepada bakat-bakat muda ini agar mereka merasai sendiri tekanan dan adrenalin di atas pentas, sekali gus membina jati diri yang kental sebelum melangkah ke fasa separuh akhir dan akhir.

"Kita mahu melahirkan generasi yang dapat berhujah dengan fakta dan berfikir dengan cepat dan berhikmah," ujar Noor Huda.

Kehadiran Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, penasihat persatuan Dr. Abdul Rahman Mad Ali @ Abang dan Dr. Khairul, serta YDP Persatuan Pelajar Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Widad Ruhi Zamri, membuktikan bahawa pembangunan bakat muda di peringkat sekolah sentiasa mendapat perhatian serius daripada peringkat universiti.

Penganjuran Pentas Cendekia telah berjaya membuktikan bahawa pembangunan pendidikan berteraskan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan inisiatif Students for Society yang dibawa oleh pelajar USM berfungsi sebagai platform pembinaan generasi muda sekali gus menyemarakkan lagi budaya intelektual serta melahirkan pemimpin masa depan yang berdaya saing dan berilmu.

Teks : Razmir Irfan Bin Ramezi,
Exco Multimedia dan Publisiti, Persatuan PPIK USM
Foto : Persatuan PPIK USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA