PELAJAR USM HARUMKAN NAMA NEGARA DI AIRLANGGA AIRVENTURE 2026; DOMINASI PENTAS BUDAYA ASEAN
USM, PULAU PINANG, 8 Mei 2026 – Mahasiswa Universiti Sains Malaysia terus membuktikan keupayaan di peringkat antarabangsa apabila berjaya mencuri tumpuan dalam program Airlangga Airventure 2026 yang berlangsung di Indonesia baru-baru ini.
Saudari Batrisyia Ezreen Binti Valzahmer Erdino, pelajar Tahun 3 Sarjana Pendidikan (TESOL) dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan USM, menjadi antara duta muda negara yang menyertai program strategik anjuran Asean University Network (AUN) dengan kerjasama Airlangga Global Engagement.
Menjelajahi landskap Surabaya hingga ke pesisir Banyuwangi, kembara ilmu selama 10 hari yang bermula pada 26 April 2026 baru-baru ini telah dirasmikan oleh Yulianna Puspitasari, drh., MVSc., PhD, Pensyarah Mikrobiologi Veteriner dari Fakultas Kedoktoran Hewan, Universitas Airlangga.
Di bawah tema “Blue Ecosystem Protection”, seramai 110 bakat muda dari 10 negara ASEAN termasuk penyertaan istimewa dari Uzbekistan telah berkumpul bagi menyatukan idea serta tenaga demi kelestarian ekosistem marin sejagat.
Sepanjang program, para peserta terlibat secara aktif dalam beberapa program berimpak antaranya adalah Modul Kelestarian : Perkongsian akademik mengenai kepentingan pemuliharaan ekosistem marin, Aksi Lapangan : Aktiviti praktikal pemulihan dan penanaman terumbu karang di kawasan pesisir dan Wacana Inovasi : Pembentangan projek berimpak tinggi yang membandingkan inisiatif perlindungan penyu dan karang di antara Indonesia dan negara-negara ASEAN lain.
Selain fokus terhadap alam sekitar, elemen diplomasi budaya turut menjadi teras utama. Para peserta didedahkan dengan keunikan warisan tempatan menerusi lawatan ke Desa Wisata Adat Osing Kemiren.
Kemuncak penutup program yang dirasmikan oleh Ivan Rahmatullah, dr., MPH., Ph.D., selaku Wakil Dekan 1 Fakultas Ilmu Kesehatan, Kedokteran, dan Ilmu Alam (FIKKIA) UNAIR menyaksikan delegasi Malaysia dinobatkan sebagai pemenang persembahan terbaik seni budaya tanah air (Dikir Barat dan Tarian Naratu) dalam acara persembahan budaya di FIKKIA UNAIR Banyuwangi.
Selari dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkasakan mahasiswa sebagai pemimpin masa hadapan yang bersifat holistik melalui lonjakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia, KPT sentiasa menyokong program mobiliti antarabangsa bagi memastikan pelajar Malaysia bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki jati diri yang kuat dan kemahiran global yang kompetitif.
Inisiatif seperti AUN ini menjadi bukti bahawa mahasiswa kita mampu menjadi ejen perubahan dalam isu-isu kritikal seperti kelestarian alam sekitar, sambil terus menjadi duta kecil bagi mempromosikan keunikan budaya Malaysia kepada dunia.