Skip to main content

G4G17

Pelajar TESOL USM Terokai Inovasi Pendidikan dan Teknologi AI di Guizhou Education University

Oleh : Nurul Ullia Balqis Amran, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESOL)
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA

USM PULAU PINANG, 24 Mei 2026 – Sepuluh pelajar Sarjana Muda Pendidikan (TESOL), Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan meraih pendedahan antarabangsa di China menerusi program aktiviti pertukaran budaya dan pemerhatian sistem pendidikan di Guizhou Education University pada 16-23 Mei 2026.

Program ini memfokuskan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan pendekatan pengajaran kreatif berasaskan teknologi di China bagi memperkukuh kefahaman peserta terhadap sistem pendidikan antarabangsa, sekali gus menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 yang menekankan akses pendidikan inklusif, berkualiti, dan pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Sepanjang pelaksanaan program, pengalaman pembelajaran ini turut dibantu oleh tiga pensyarah pengiring iaitu Dr. Rohaya Abdullah, Profesor Dr. Muhamad Kamarul Kabilan Abdullah, dan Dr. Yusnita Md Yunus yang memainkan peranan penting dalam membimbing serta memastikan kelancaran keseluruhan mobiliti akademik tersebut.

Langkah ini juga selaras dengan saranan Kementerian Pendidikan Tinggi yang sentiasa menggalakkan universiti tempatan memperkasakan program mobiliti antarabangsa.
Pihak kementerian menekankan bahawa aktiviti pertukaran budaya di luar negara adalah peluang keemasan bagi mahasiswa untuk membina personaliti yang anjal, berdaya saing, serta meningkatkan kebolehpasaran graduan menerusi pemikiran global dan jaringan komunikasi merentas sempadan.

Pengarah projek, Barrathi A/P Narendran berkata, pengalaman pertukaran budaya ini membuka ruang pembelajaran yang bermakna kepada peserta untuk memahami perbezaan dan keunikan sistem pendidikan di negara lain.

“Program ini memberi pengalaman yang sangat berharga kepada kami sebagai bakal pendidik sekaligus membuka minda kami untuk belajar tentang pendekatan pengajaran yang lebih kreatif dan berasaskan teknologi,” katanya.

Program ini diharapkan dapat melahirkan bakal pendidik yang lebih kreatif, inovatif dan berfikiran global, sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama akademik dan budaya antara Malaysia dan China selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 17: Perkongsian untuk Matlamat melalui pengukuhan hubungan serta kolaborasi antara institusi pendidikan di peringkat antarabangsa.