Pelajar Sains Farmasi USM Naib Johan Pertandingan “Formula for Change” IPSF
Oleh : Wong Sze Keith Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 2 Jun 2026 :- Tahniah dan syabas kepada Saudara Wong Sze Keith, Tahun 2 Pusat Pengajian Sains Farmasi yang telah berjaya mengharumkan nama negara selepas merangkul tempat kedua dalam pertandingan perkompaunan ubat peringkat antarabangsa, "Formula for Change".
Pertandingan yang dijalankan sepenuhnya secara dalam talian yang dianjurkan oleh Persekutuan Pelajar Farmasi Antarabangsa (International Pharmaceutical Students' Federation - IPSF) itu diadakan bertujuan untuk merapatkan jurang antara teori farmaseutikal dengan aplikasi klinikal sebenar.
IPSF atau Persekutuan Pelajar Farmasi Antarabangsa ialah sebuah pertubuhan advokasi antarabangsa terkemuka yang mewakili lebih daripada 500,000 pelajar farmasi dan graduan muda dari lebih 100 buah negara di seluruh dunia.
Membawa tema "The Aesthetic Alchemist: Precision in Dermapharmacy", cabaran kali ini memfokuskan kepada formulasi kosmetik dan penjagaan kulit lanjutan.
Dengan penyertaan sebanyak 86 peserta dari pelbagai negara, para peserta ditugaskan untuk menilai secara kritis serta membetulkan formulasi sediaan yang bermasalah.
Ujian tersebut menuntut kemahiran analisis yang teliti terhadap beberapa aspek teknikal, termasuklah keserasian bahan kimia dan integriti emulsi, kestabilan tahap pH bagi memastikan keselamatan ubat dan penyelesaian masalah dunia sebenar seperti isu kekurangan bekalan ubat, kontraindikasi, serta keperluan khusus pesakit.
Secara keseluruhannya, objektif utama pertandingan ini adalah untuk mencapai ketepatan klinikal dalam formulasi ubat, melatih kemahiran penyelesaian ralat secara analitik, memartabatkan semula peranan ahli farmasi sebagai pencipta ubat-ubatan peribadi (penyediaan ekstemporaneus), serta menekankan kepentingan kaunseling berpusatkan pesakit.
Majlis perasmian dan penyampaian hadiah bagi mengiktiraf kejayaan para pemenang telah disempurnakan sepenuhnya oleh pihak IPSF selaku penganjur utama.
Kejayaan meraih tempat kedua ini membuktikan keupayaan penuntut farmasi USM untuk bersaing pada peringkat global, sekali gus meletakkan status mereka pada kedudukan yang amat membanggakan.