Skip to main content

PELAJAR PUSAT PENGAJIAN SENI USM RAIH ANUGERAH “SPECIAL MENTION” DI MIFF FURNITURE DESIGN COMPETITION 2026

USM PULAU PINANG, 7 Mac 2026 – Tahniah kepada Saudara Prathiin Saravanamuthu, pelajar dari Program Reka Bentuk Produk, Pusat Pengajian Seni, USM yang telah mengharumkan nama universiti apabila berjaya meraih Anugerah Special Mention dalam MIFF Furniture Design Competition (FDC) 2026 sempena Malaysian International Furniture Fair (MIFF) di Kuala Lumpur.

Dengan penyertaan sebanyak 138 peserta daripada 21 institusi reka bentuk awam serta 16 institusi swasta, Prathiin telah berjaya menempatkan diri dalam kalangan 20 peserta terbaik untuk mara ke peringkat seterusnya.

Pada peringkat penilaian kedua, kesemua peserta dikehendaki membentangkan konsep reka bentuk masing-masing di hadapan panel juri antarabangsa yang terdiri daripada pakar industri dari negara-negara Asia, yang diketuai oleh Dr. Eric Leong. Berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) sejak 9 Januari 2026, Prathiin sekali lagi berjaya melangkah ke peringkat seterusnya dengan tersenarai antara 10 finalis terbaik.

Bertemakan “Playful. Practical. Purposeful: Furniture for Generation Alpha”, yang menekankan pembangunan reka bentuk perabot yang bersifat fungsional, kreatif dan relevan dengan keperluan Generasi Alpha, iaitu generasi kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran teknologi digital, Prathiin telah menghasilkan sebuah konsep reka bentuk perabot yang dikenali sebagai “StackaBlock”, iaitu sebuah mock-up set perabot bilik tidur modular yang direka khusus untuk menyokong aktiviti pembelajaran, permainan serta perkembangan kanak-kanak secara fleksibel dan interaktif.

Berdasarkan pencapaian tersebut serta penilaian keseluruhan oleh panel juri, Prathiin akhirnya berjaya meraih Anugerah Special Mention dalam MIFF Furniture Design Competition 2026 yang telah berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur pada 6 Mac 2026.

Malaysian International Furniture Fair (MIFF) merupakan pameran perdagangan perabot terbesar di Asia Tenggara yang menghimpunkan pengeluar, pereka, pembeli serta pemain industri dari seluruh dunia. Pameran tahunan ini menjadi platform penting bagi mempamerkan inovasi serta perkembangan terkini dalam industri perabot di peringkat antarabangsa.

Kejayaan ini sekali gus mencerminkan kecemerlangan serta keupayaan kreatif pelajar Universiti Sains Malaysia, khususnya daripada Pusat Pengajian Seni, dalam menghasilkan reka bentuk inovatif yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Teks : Encik Gurvinderjit Singh Sidhu A/l Sarjit Singh
Foto : Prathiin Saravanamuthu, Pusat Pengajian Seni, USM
Suntingan : Unit Media dan Penerbitan BHEPA