PELAJAR PPSM USM JULANG KEJUARAAN ‘LIVE PITCHING’ DATA CHALLENGE 5.0
USM PULAU PINANG, 28 April 2026 – Pasukan mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) terus memperkukuh reputasi universiti dalam bidang analitik data apabila melakar kejayaan cemerlang pada pertandingan DATA CHALLENGE 5.0 yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini.
Lima pelajar Tahun 2 dari Pusat Pengajian Sains Matematik terdiri daripada Vernon Teng Dao Keng, Chu Tuck Zhang, Lee Ching Ern, Yan Ka Yin, dan Leung Hui Min. Pasukan di bawah bimbingan Dr. Fam Pei Shan ini berjaya merangkul gelaran johan bagi sesi ‘Live Pitching’ serta meraih tempat ketiga dalam kategori keseluruhan.
Kejayaan tersebut menyaksikan USM menewaskan persaingan sengit daripada 60 kumpulan yang mewakili 48 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 12 Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di seluruh negara.
Pertandingan yang diadakan di Dewan Kuliah Besar 2, UKM pada 25 April 2026 baru-baru ini dirasmikan oleh Timbalan Dekan, Jaringan Industri & Komuniti, Fakulti Sains dan Teknologi UKM, Prof. Ts. ChM. Dr. Rizafizah Othaman. Sesi penilaian teknikal pula dikendalikan oleh Ketua Jabatan Sains Matematik UKM, Prof. Dr. Anuar Mohd Ishak.
Kemenangan ini mencerminkan keupayaan tinggi mahasiswa USM dalam analisis data lanjutan yakni mentransformasikan data kompleks kepada penyelesaian yang bermakna dan berimpak tinggi,
Melalui penyampaian strategik dalam menonjolkan kemahiran komunikasi profesional dan keyakinan tinggi di hadapan panel penilai industri serta akademik, inovasi digital yang diketengahkan oleh mereka berupaya menterjemah teori matematik kepada aplikasi dunia sebenar yang relevan dengan era pendigitalan amat dibanggakan.
Atas kecemerlangan tersebut, pasukan USM membawa pulang hadiah tunai berjumlah RM500 berserta trofi bagi tempat ketiga keseluruhan, manakala kemenangan dalam sesi Live Pitching pula dianugerahkan hadiah tunai RM100.
Pencapaian ini sekali gus membuktikan komitmen PPSM USM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dalam aspek teknikal, malah berdaya saing dan inovatif di peringkat nasional, selaras dengan keperluan pasaran kerja masa kini yang mementingkan kepakaran data.
Teks/Foto: Wakil Pusat Pengajian Sains Matematik
Suntingan: Unit Media dan Penerbitan BHEPA USM