Parlimen Mahasiswa Siri 2 Himpunkan Suara Mahasiswa Demi Kesejahteraan Kampus
Oleh : Siti Ruhaida Mohamed Radhi, Unit Media dan Penerbitan BHEPA
USM PULAU PINANG, 23 Mei 2026 :- Parlimen Mahasiswa Siri 2 Sidang Akademik 2025/2026 Universiti Sains Malaysia kembali bersidang dengan pembentangan 12 usul berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa.
Persidangan yang berlangsung di Dewan Persidangan Universiti, USM itu menghimpunkan 77 Ahli Dewan bersama 30 orang pemerhati daripada Universiti Sains Malaysia dan Universiti Utara Malaysia yang turut hadir bagi menyaksikan perjalanan sidang.
Kehadiran pemerhati turut menyemarakkan sidang menerusi pelbagai pandangan serta cadangan yang diketengahkan dalam mewakili suara mahasiswa.
Profesor Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM ketika menyampaikan ucapan perasmian penangguhan menyeru ahli Parlimen Mahasiswa agar terus memainkan peranan aktif dalam menilai serta menambah baik dasar-dasar universiti yang melibatkan aspek kebajikan, kesejahteraan dan pembangunan mahasiswa.
“Mahasiswa perlu terus menjadi suara semak dan imbang yang konstruktif dalam membantu universiti memperkukuh dasar-dasar sedia ada agar sentiasa relevan, inklusif dan memenuhi keperluan semasa warga kampus,” ujarnya.
Turut hadir ialah Profesor Dr. Azizah Omar, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar, Puan Siti Aishah Abdul Raffar, Timbalan Pendaftar Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti dan barisan pegawai BHEPA.
Sidang Parlimen Mahasiswa kali ini turut menyaksikan Saudara Nuraiman Mohd Yusrino, wakil Majlis Perwakilan Pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, dilantik sebagai Speaker Dewan, manakala Saudari Sofia Natasha Khor Muhammad Azmi Khor Shaharuddin, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Desasiswa Restu, dilantik sebagai Timbalan Speaker.
Parlimen Mahasiswa USM bukan sekadar menjadi wadah rasmi dalam mengangkat suara dan aspirasi mahasiswa, malah berfungsi sebagai medan intelektual yang menyemarakkan budaya pemikiran kritis, memperkasa kepimpinan berwibawa serta melahirkan generasi mahasiswa yang progresif, berdaya saing dan sentiasa cakna terhadap pembangunan serta kesejahteraan kampus.