NEXTGENBIZ SISWA 2026 SUNTIK SEMANGAT, CIPTA USAHAWAN BERDAYA TAHAN
USM PULAU PINANG, 2 April 2026 – Dalam usaha memperkasa mahasiswa dengan pengetahuan serta kemahiran asas dalam bidang keusahawanan, Program NextGenBiz Siswa 2026 tampil sebagai satu inisiatif berimpak tinggi bagi menyuntik semangat dan inspirasi ke arah melahirkan generasi usahawan muda yang berdaya saing serta inovatif.
Program yang berlangsung di Dewan Pembangunan Siswa 1, KOMCA ini merupakan anjuran Sektor Keusahawanan dan Inovasi, Pusat Pembangunan Pelajar, BHEPA USM dengan kolaborasi strategik bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA). Ia berjaya menghimpunkan kira-kira 150 orang pelajar Universiti Sains Malaysia serta jemputan khas daripada Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Balik Pulau.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya menegaskan bahawa kolaborasi seumpama ini amat penting dalam menyokong pembangunan bakat usahawan muda, sekali gus melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan berkemahiran keusahawanan selaras dengan Agenda HEBAT USM.
Turut hadir adalah Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Encik Zahari Aziz, Pengarah MARA Negeri Pulau Pinang, Encik Abdul Halim Mohammad, Timbalan Pengarah (Pembangunan) MARA Pulau Pinang, Encik Mohamad Hairi Salim, serta Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar BHEPA USM, Prof. Dr. Azizah Omar.
Sebagai pengisian program, sesi Bual Bicara Bersama menampilkan Encik Zahari Aziz dengan kupasan ilmu berkaitan hala tuju serta peluang pembangunan usahawan di Malaysia, sekali gus membuka perspektif baharu kepada mereka. Program turut diperkaya dengan sesi Bicara Pendigitalan Perniagaan oleh Encik Mohamad Hairi dan sesi Power Talk: Ikon Usahawan Berjaya bersama Puan Siti Padillah Abdul Wahab dari CG Global Profastex Manufacturing Sdn. Bhd.
Bagi Beatrice La Salle, pelajar Tahun 1 Pusat Pengajian Sains Fizik, program ini adalah "pembuka mata" bagi mereka yang ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan.
"Ini adalah inisiatif terbaik untuk kami meneroka peluang kerjaya di luar bidang akademik tradisional sambil memperkaya ilmu yang sangat praktikal," katanya.
Pandangan tersebut turut disokong oleh rakan pelajarnya, Jasrin Jamaluddin, yang menyifatkan program ini sebagai platform menyeluruh untuk memahami seluk-beluk keusahawanan secara holistik.
Teks/foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA